Malaysiakini 29/1/17
Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, partinya
menyasarkan untuk memenangi sekurang-kurangnya 40 kerusi parlimen pada
pilihan raya umum akan datang.
Pada masa yang sama, kata Abdul Hadi, parti itu perlu mempunyai
kedudukan yang kukuh dan kuat melalui strategi mempertahankan Kelantan
dan Selangor selain memerintah semula Terengganu dan Kedah.
Sambil mengakui walaupun sukar mendapat majoriti 112 kerusi dan
memerintah sendiri, tetapi PAS mempunyai tanggungjawab mempertahankan
Islam dan memastikan Islam memerintah, katanya.
"Kejayaan strategi itu akan menyebabkan Umno tidak lagi sombong
seperti dahulu dan membolehkan berlakunya perubahan politik dalam
negara.
"Kita kena faham ini semua. Jangan kita mara ke hadapan dengan tidak
tengok sedikit ke belakang, di mana kekurangan dan kelemahan, tidak
membuat muhasabah.
Kita maju ke hadapan dalam keadaan kita tak tengok lopak-lopak dan
liku yang bahaya," ujarnya pada Majlis Taklimat Khas Presiden dan Dana
Sumbangan Kompleks PAS Kedah di Kota Sarang Semut, memetik laporan Harakah Daily.
Baru-baru ini, Abdul Hadi berkata, PAS tetap bertegas menolak
kerjasama dengan DAP untuk pilihan raya umum depan, tetapi masih terbuka
terhadap sebarang kemungkinan dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia
(BERSATU).
Jelas Abdul Hadi, agenda mereka dan DAP berbeza kerana PAS bukan
hanya mahu menang pilihan raya tetapi juga membawa perubahan dalam
masyarakat.
Mengulas lanjut, Abdul Hadi berkata, tahaluf siyasi bersama DAP dan
PKR hampir berjaya menjatuhkan Umno dan BN dengan mencapai peratus
tinggi undi popular iaitu 89 kerusi pembangkang dan 132 kerusi kerajaan.
Namun begitu, wujud keadaan tidak seimbang pada kedudukan politik dan
jumlah kerusi Islam menyebabkan PAS melakukan muraja'ah semula terhadap
tahaluf siyasi, katanya.
"Sedarkah saudara-saudari bagaimana kedudukan kerusi itu? Tak sedar
89 kerusi pembangkang itu PAS 21 kerusi, PKR 30 kerusi, DAP 38 kerusi.
Kekuatan jentera PAS 25 peratus, parti lain bahagi-bahagi, (tapi) kerusi
PAS begitu kedudukannya.
"Orang kita menang sorak, ekor berlumur taik. Sedar ke tidak? Ini
kena faham. Dari 89 kerusi pembangkang, 39 adalah Islam dan 50 bukan
Islam. Ada cadangan buat undi tidak percaya nak ubah kerajaan," tambah
beliau yang juga ahli Parlimen Marang.
Menurut beliau, dengan mengambil 30 lagi kerusi bukan Islam dari BN,
maka kerajaan boleh dijatuhkan, sekali gus terbentuk kerajaan baharu
yang berkedudukan Islam 39 kerusi dan bukan Islam 80 kerusi.
No comments:
Post a Comment