Thursday, January 26, 2017

Pulihkan GLC, singkir pelaku rasuah, kata badan pemikir

 | January 25, 2017
Ketua Ideas berkata tadbir urus GLC yang lemah dicerminkan dengan penurunan berterusan Malaysia dalam kedudukan Indeks Persepsi Rasuah 2016.
corrupt-graph
PETALING JAYA: Putrajaya perlu perkenalkan pembaharuan lebih serius dalam urus tadbir syarikat berkaitan kerajaan (GLC) untuk membasmi rasuah, kata Ketua Eksekutif, Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (Ideas), Wan Saiful Wan Jan.

Badan pemikir itu berkata demikian mengulas Indeks Persepsi Rasuah (CPI) terkini yang dikeluarkan Transparency International (TI) hari ini, yang menunjukkan Malaysia bergerak merosot satu anak tangga ke-55 daripada 176 negara.

“Walaupun, sejak kebelakangan ini kerajaan khususnya SPRM melakukan banyak kerja hebat menangkap pegawai rasuah, ia masih tidak menangani keperluan yang lebih mendalam untuk pembaharuan.
“Dalam kes Malaysia, skor kita menurun sejak 2014, daripada skor 52 daripada 100, sebelumnya ke-49 hari,” kata Wan Saiful dalam satu kenyataan yang dikeluarkan Ideas, hari ini.

Beliau menyeru peraturan ketat ke atas GLC, dan pengurangan bilangan GLC dengan hanya menjaga mereka yang memenuhi syarat masa tadbir urus.
“Sudah sampai masanya perdana menteri melepaskan portfolio sebagai menteri kewangan,” kata Wan Saiful.

TI memperoleh kedudukan CPI bagi negara berdasarkan agregat daripada 8 kajian yang berbeza.
Menurut laporan itu, penurunan Malaysia boleh dikaitkan dengan penurunan skor dalam World Justice Project Rule of Law Index, Political Risk Services International Country Risk Guide, Political and Economic Risk Consultancy Asian Intelligence and the Bertelsmann Foundation Transformation Index – semua indeks yang mengukur tadbir dan kedaulatan undang-undang.

“Salah satu faktor utama di sebalik kemerosotan baru-baru ini adalah bagaimana skandal 1MDB (1Malaysia Development Berhad) dikendalikan.
Beliau berkata bagaimanapun, isu 1MDB hanya sebahagian daripada isu struktur yang lebih penting iaitu mengenai bagaimana GLC diuruskan.

“Walaupun GLC wujud sejak merdeka, mereka mengambil peranan lebih luas sepanjang tempoh perkhidmatan Tun Dr Mahathir Mohammad sebagai perdana menteri. Pada zamannya, dengan PM juga menjadi menteri kewangan, terdapat penglibatan kerajaan yang lebih besar dalam perniagaan.

“Ini memulakan amalan tidak sihat di mana garis antara perniagaan dan kerajaan mula kabur,” kata Wan Saiful dan menjelaskan konflik kepentingan timbul atas keputusan yang dibuat kerana menteri kewangan sepatutnya hanya menasihatkan PM supaya ada semak dan imbang melibatkan tabung negara.
Beliau menjadikan 1MDB sebagai contoh apabila kerajaan menjadi terlalu terlibat dalam perniagaan, bukannya memainkan peranan sepatutnya mengikut peraturan.

“Malaysia dipenuhi sejarah merugikan dan GLC tidak diurus dengan baik seperti Bumiputera Malaysia Finance Limited (BMF), Pembinaan PFI Sdn Bhd, National Feedlot Corporation (NFCorp) dan lain-lain lagi.
“Hasilnya ialah kerugian berbilion ringgit kepada rakyat dan hutang yang perlu dibayar pembayar cukai hingga ke hari ini,” kata Wan Saiful.

No comments:

Post a Comment