Sunday, January 8, 2017

Rasuah KSU: SPRM rampas lagi RM550,000

Rasuah KSU: SPRM rampas lagi RM550,000
Wang tunai yang dirampas SPRM.
KUALA LUMPUR - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah merampas wang tunai kira-kira RM550,000 dari rumah Ketua Setiausaha sebuah kementerian yang berada dalam tahanan reman, semalam.

Memetik kenyataan hari ini, sumber memberitahu wang tunai tersebut termasuk mata wang British Pound Sterling, EURO dan Singapore Dollar.

"Difahamkan wang tersebut telah disembunyikan oleh salah seorang anak suspek di dalam rumahnya di USJ, Subang Jaya.
"Kami telah merakamkan percakapan anak suspek tersebut yang berusia dalam lingkungan 20-an untuk membantu siasatan" ujar sumber seperti yang dipetik menerusi kenyataan itu 
Bagaimanapun, tiada tangkapan baharu dibuat berhubung dakwaan tersebut setakat ini.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM (Operasi), Datuk Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan rampasan tersebut, namun enggan mengulas lanjut berhubung siasatan kes tersebut.

Terdahulu, SPRM merampas beberapa aset  dengan membuka peti simpanan emas di sebuah bank serta merampas seberat 8kg yang dianggarkan bernilai RM1.6 juta berhubung kes itu.

Menurut sumber, SPRM turut membuka beberapa peti simpanan di bank lain dan merampas wang tunai hampir RM1 juta termasuk AUD$80,000 (RM261,687.20).

No comments:

Post a Comment