Sunday, January 8, 2017

Sah, ada yang tak kena dengan Felda - PAS

8/1/17
Pengerusi Hal Ehwal Felda PAS Pusat, Naraza Muda berkata, pelantikan Tan Sri Shahrir Abdul Samad menggantikan Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad sebagai pengerusi Felda yang baru mengesahkan ada kepincangan yang sangat besar melanda Felda.

"Kebiasaannya, lantikan dibuat sebelum memasuki tahun baharu jika pengerusi yang lama tidak disambung perkhidmatannya yang tamat 31 Disember 2016.
"Bila pelantikan ini diumumkan melepasi minggu pertama awal tahun baharu, sudah pasti ada sesuatu yang tidak kena," katanya dalam kenyataan yang disiarkan dalam Harakah Daily.

Lagi pelik dan menghairankan, ujar beliau, Isa masih lagi dikekalkan menerajui FGV ketika desakan penyingkiran beliau sudah tidak dapat sembunyikan lagi.
"Tidak pernah peneroka Felda mendesak kerajaan singkirkan pengerusi Felda sebelum ini. Sampai ada pegawai yang sanggup dipecat dan ada pula yang membuat ugutan terbuka akan meninggalkan Umno jika pimpinan tertinggi Felda tidak berubah sebelum 1 Januari 2017.

"Kenapa Perdana Menteri tidak berani memberi tugasan menerajui FGV kepada Shahrir? Jika Shahrir mampu dilihat terbaik menerajui Felda, kenapa masih mengekalkan Isa?," katanya.
Ia menampakkan seolah-olah ada sesuatu kepentingan yang tidak akan dilepaskan Isa sehingga agenda peribadi beliau berjaya disempurnakan, tambah beliau.

Shahrir juga akan menghadapi jalan sukar untuk memastikan FGV mampu memberi pulangan dan kebaikan kepada Felda selagi Isa masih menduduki kerusi Pengerusi FGV.

Langkah Shahrir akan terhalang, katanya, kerana apa jua tindakannya akan terencat merujuk dengan perkembangan terkini.
"Apa yang Shahrir boleh strukturkan hanya pada Felda, tetapi FGV tiada apa yang boleh dibuat, bahkan satu lagi pertembungan pengurusan akan terjadi," jelasnya.

Di sinilah terletaknya cabaran utama Shahrir untuk memulihkan Felda dan mengembalikan keyakinan pengundi warga Felda dalam menghadapi pilihan raya umum (PRU) ke-14.

Pada PRU13 yang lalu, 51 kawasan Parlimen telah dimenangi Barisan Nasional dan menjadikan kawasan Felda sebagai aset simpanan tetap kerusi parti pemerintah itu.
Malaysiakini

No comments:

Post a Comment