Friday, January 20, 2017

Singapura arah kuil Hindu atas tanah lama KTM berpindah

 | January 20, 2017
Kuil itu dibina pekerja KTM sekurang-kurangnya 20 tahun lalu.
Sri-Thandavaalam-Muneeswaran-Alayam
PETALING JAYA: Sebuah kuil Hindu yang terletak secara haram di sebidang tanah bekas landasan Keretapi Tanah Melayu (KTM) di Singapura diarah pindah, atau berdepan tindakan pihak berkuasa Singapura.

Menurut The Straits Times, Pihak Berkuasa Tanah Singapura (SLA) memberikan notis kepada wakil kuil semalam menuntut pengosongan tanah tersebut dan “mengalihkan tempat pemujaan, struktur dan harta boleh-alih” dalam masa 28 hari.

Bendahari kuil Sri Thandavaalam Muneeswaran Alayam dipetik akhbar itu sebagai berkata pihaknya akan memohon lanjutan masa untuk mencari lokasi baru, mengadakan upacara doa dan menempatkan semula kuil itu.
“Kami bersedia untuk berpindah, tetapi tempoh 28 hari terlalu pendek,” kata Adaikalam Annadhurai.

Akhbar itu melaporkan kuil yang terletak di sepanjang bekas landasan kereta api KTM di bawah jejambat persimpangan Queensway dan Portsdown Avenue, dibina pekerja KTM sekurang-kurangnya 20 tahun yang lalu.

SLA berkata rundingan dengan kuil itu sudah berlaku sejak 2011, selepas KTM menamatkan perkhidmatan kereta api di sana dan tanah itu dikembalikan ke Singapura.

Menurut pihak berkuasa Singapura, tanah yang diduduki kuil itu tidak dizonkan untuk kegunaan agama dan merupakan sebahagian daripada Rail Corridor, yang akan dibangunkan semula.

Ia juga mendakwa kuil itu membahayakan kesihatan dan keselamatan awam kerana penggunaan api secara terbuka dalam upacara pemujaan.
Malaysia dan Singapura menandatangani perjanjian pertukaran tanah pada 2010 membabitkan tanah KTM di republik itu.

No comments:

Post a Comment