Kuil itu dibina pekerja KTM sekurang-kurangnya 20 tahun lalu.
PETALING JAYA: Sebuah kuil Hindu yang terletak secara haram di
sebidang tanah bekas landasan Keretapi Tanah Melayu (KTM) di Singapura
diarah pindah, atau berdepan tindakan pihak berkuasa Singapura.
Menurut The Straits Times, Pihak Berkuasa Tanah Singapura (SLA)
memberikan notis kepada wakil kuil semalam menuntut pengosongan tanah
tersebut dan “mengalihkan tempat pemujaan, struktur dan harta
boleh-alih” dalam masa 28 hari.
Bendahari kuil Sri Thandavaalam Muneeswaran Alayam dipetik akhbar itu
sebagai berkata pihaknya akan memohon lanjutan masa untuk mencari
lokasi baru, mengadakan upacara doa dan menempatkan semula kuil itu.
“Kami bersedia untuk berpindah, tetapi tempoh 28 hari terlalu pendek,” kata Adaikalam Annadhurai.
Akhbar itu melaporkan kuil yang terletak di sepanjang bekas landasan
kereta api KTM di bawah jejambat persimpangan Queensway dan Portsdown
Avenue, dibina pekerja KTM sekurang-kurangnya 20 tahun yang lalu.
SLA berkata rundingan dengan kuil itu sudah berlaku sejak 2011,
selepas KTM menamatkan perkhidmatan kereta api di sana dan tanah itu
dikembalikan ke Singapura.
Menurut pihak berkuasa Singapura, tanah yang diduduki kuil itu tidak
dizonkan untuk kegunaan agama dan merupakan sebahagian daripada Rail
Corridor, yang akan dibangunkan semula.
Ia juga mendakwa kuil itu membahayakan kesihatan dan keselamatan awam
kerana penggunaan api secara terbuka dalam upacara pemujaan.
Malaysia dan Singapura menandatangani perjanjian pertukaran tanah pada 2010 membabitkan tanah KTM di republik itu.
No comments:
Post a Comment