Monday, January 16, 2017

Sokong hasrat teruskan BR1M kepada rakyat

Mohamed Azmin Ali
Mohamed Azmin Ali
SHAH ALAM - Hasrat Bersatu meneruskan BR1M sekiranya gabungan pembangkang menang PRU14, mendapat sokongan Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Namun, beliau menegaskan pelaksanaan itu boleh diteruskan dengan syarat ia diuruskan organisasi bukan politik agar tidak disalah gunakan pihak tertentu kelak.
“Tun Dr Mahathir Mohamad tidak kata diteruskan, sekiranya BR1M itu diperlukan maka pengurusan BR1M itu mesti diletakkan dalam satu organisasi lebih telus dan bertanggungjawab.

“Bukan diuruskan oleh orang politik untuk kepentingan politik dan beliau menyebut secara tegas BR1M tidak boleh menjadi manifesto mana-mana parti politik kerana ia satu sogokan dan amalan rasuah dilakukan oleh Umno dan BN,” katanya selepas majlis perasmian Bersatu di Stadium Malawati, malam kelmarin.
Sebelum itu, pada ucaptama perasmian Bersatu, Mahathir berkata, program memberikan manfaat kepada rakyat itu akan diteruskan sekiranya pembangkang menjadi kerajaan pada PRU14.

Mohamed Azmin menegaskan, keperluan pembangkang untuk kembali bersatu pada PRU14 perlu dipandang serius oleh pakatan pembangkang seperti mana gesaan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mahu bekerjasama dengan parti lain di luar Pakatan Harapan.

“Sudah tentu beberapa parti lain termasuk di Sabah dan Sarawak, menjadi pertimbangan untuk diwujudkan kerjasama bagi menghadapi PRU14.
“Ini perkembangan positif kerana kita mahu melihat satu kekuatan baru dalam kalangan parti pembangkang, sama ada Pakatan Harapan mahupun di luar Pakatan Harapan untuk jana semangat bagi menghadapi BN kelak,” katanya.
Menurutnya, semua parti politik wajar bersedia melakukan perubahan demi negara.

No comments:

Post a Comment