Saturday, January 21, 2017

Susah kerjasama dengan PPBM, kata PAS

 | January 20, 2017
Ia berlaku selepas dakwaan seorang bekas pemimpin DAP mengenai kewujudan pakatan sulit PPBM dan DAP.
pas-ppbmPETALING JAYA: Selepas dakwaan seorang bekas pemimpin DAP mengenai pakatan sulit PPBM dan DAP, PAS membayangkan tiada harapan lagi untuknya mengadakan kerjasama dengan parti berusia kurang 4 bulan itu.

Pengarah Pusat Penyelidikan PAS (PPP) Dr Mohd Zuhdi Marzuki memetik laporan sebuah portal di mana bekas naib pengerusi DAP, Tunku Abdul Aziz Ibrahim, mendakwa pemimpin DAP, Lim Kit Siang dijanjikan jawatan timbalan perdana menteri dalam pertemuannya dengan Pengerusi PPBM, Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Seluruh pimpinan dan ahli PAS menentang keras sebarang tawaran yang ingin diberikan kepada DAP untuk menjawat jawatan utama dalam kerajaan seperti Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan,” kata Zuhdi.

“Perkembangan terbaru ini sememangnya mengejutkan, dan PPP yakin ia akan merencatkan sama sekali siri pertemuan antara PAS dan PPBM untuk menjalin hubungan kerjasama,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Tunku Aziz sebelum ini mendakwa pakatan sulit membabitkan persetujuan supaya anak Dr Mahathir, Datuk Seri Mukhriz dijadikan perdana menteri manakala Kit Siang timbalannya jika Pakatan Harapan memenangi pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

DAP bagaimanapun menafikan dakwaan itu, dan berkata ia tidak pernah meminta jawatan nombor 2 itu.
“Kit Siang dan Dr Mahathir bertukar pandangan mengenai keadaan ekonomi, pelaburan langsung asing, politik Sabah dan pemerkasaan Sarawak serta kejelasan dalam pengaturan politik,” kata Pengarah Pendidikan Politik parti itu, Liew Chin Tong.

Zuhdi berkata, ketika ini PAS belum membuat sebarang keputusan untuk bekerjasama dengan PPBM.
“Sekiranya desas-desus ini benar, PAS diyakini akan bertindak tegas untuk tidak lagi mewujudkan apa-apa hubungan kerjasama dengan PPBM.

“Yang ada ketika ini hanyalah siri-siri pertemuan dan program bersama untuk menerokai dan menjalin hubungan tersebut,” katanya.
PPBM sebelum ini mengadakan perjanjian kerjasama dengan Pakatan Harapan yang dianggotai PKR, DAP dan Amanah.

No comments:

Post a Comment