Monday, January 2, 2017

Tak perlu beritahu gaji untuk buku teks percuma

FMT | January 1, 2017
Kerana buku teks percuma diberi kepada semua pelajar sekolah kebangsaan, kata persatuan ibu bapa dan guru
Mohamad-Ali-Hassan_buku-tesk_sekolah_60032
PETALING JAYA: Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN) menyoal Kementerian Pendidikan akan keperluan ibu bapa mengisi butiran gaji dan cukai pendapatan semasa mendaftarkan anak ke sekolah kerajaan.
Pengerusi Mohamad Ali Hassan berkata butiran itu maklumat peribadi dan kementerian perlu menjelaskan mengapa ibu bapa wajib mengisi borang pengakuan pendapatan dan dalam borang maklumat pelajar.

Borang pengakuan pendapatan menyatakan maklumat itu untuk ibu bapa yang mahu memohon buku teks percuma, sementara borang kedua pula tidak menyatakan sebarang sebab.
“Tak mungkin untuk bantuan buku teks kerana kerajaan beri buku teks percuma kepada semua pelajar, tanpa mengiraukan gaji ibu bapa. Itu dasar kebangsaan.
“Borang pengakuan pendapatan itu tak masuk akal,” katanya kepada FMT.

Beliau ditanya mengenai alasan kementerian pendidikan mewajibkan ibu bapa mengisi 2 borang untuk mendaftar anak mereka ke sekolah kerajaan.
Pada 2009, bekas perdana menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi meluluskan skim buku teks percuma untuk pelajar sekolah rendah menengah kerajaan, tanpa menghiraukan latar belakang kewangan mereka. Sebelum itu, bantuan hanya diberikan kepada pelajar daripada keluarga miskin.

Ali berkata kementerian tidak memaklumkan kepada PIBGN mengapa mereka memerlukan butiran peribadi ibu bapa.
“Adakah untuk kenal pasti siapa yang layak terima Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) atau untuk tahu berapa banyak keluarga itu boleh sumbang kepada sekolah?

“Atau untuk kenal pasti pelajar yang perlukan bantuan makanan di sekolah?” soalnya.
Ibu bapa juga diminta mengisi pendapatan mereka dalam borang pengakuan itu manakala borang maklumat pelajar meminta ibu bapa mengisi pekerjaan masing-masing, nama majikan, alamat, nombor cukai pendapatan dan gaji bulanan.
Sekolah kebangsaan dibuka Rabu.

No comments:

Post a Comment