HUNAN - CHINA. Lelaki ini tidak pernah bermimpi untuk menjadi jutawan.
Tetapi bagaimana kalau wang sebanyak RM780 juta secara tiba-tiba masuk
ke dalam akaun simpanan. Apakah dia akan menyerahkan semula kepada bank
ataupun terus membelanjakan sehingga habis?
Inilah 'durian runtuh' yang diterima oleh lelaki ini dikenali sebagai
Liu sebaik sahaja memohon kad kredit baharu di sebuah bank pertanian di
Changsha, Hunan, pada jam 3 petang, Ahad lalu.
Ketika dalam perjalanan pulang dari bank tersebut, Liu menerima sistem
pesanan ringkas (SMS) dari pihak bank menyatakan wang sebanyak
1,212,405,360 Yuan (RM780 juta) telah secara tidak sengaja dimasukkan ke
dalam akaun simpanannya.
Kira-kira 6 petang, Liu kembali semula ke kaunter bank dan
kemunculannya memang melegakan pegawai bank kerana ia berpunca daripada
kesilapan kakitangan bank sendiri.
Rupa-rupanya 1212405360 adalah nombor akaun bank Liu tetapi atas
kecuaian kakitangan bank, nombor itu telah dikreditkan ke dalam akaun
simpanannya sehingga menjadi 1,212,405,360 Yuan.
Liu mengakui walaupun hanya tiga jam, tetapi tempoh tersebut sukar
dilupakannya kerana inilah kali pertama dia menjadi 'jutawan' sepanjang
hayatnya.
Atas kerjasama yang diberikan, Liu diberikan 'ang pau' sebanyak 200 Yuan (RM130) sebagai sagu hati oleh pihak bank.
Difahamkan, kakitangan bank yang menguruskan transaksi tersebut adalah
kakitangan baharu yang masih belum mahir mengendalikan kerja yang
diberikan kepadanya.
No comments:
Post a Comment