Friday, January 13, 2017

TMJ ingatkan Annuar, jangan kejutkan rimau tidur

Pemilik kelab bola sepak JDT Tunku Ismail Sultan Ibrahim sekali lagi tampil membidas Tan Sri Annuar Musa gara-gara tindakan pengerusi MARA itu yang 'mengejutkan harimau sedang tidur'.

Tunku Mahkota Johor (TMJ) itu mendakwa, Annuar sentiasa tidak berpuas hati dengannya dan ini perlu diselesaikan.
"Sebelum menggunakan kejayaan Faiz Subri untuk populariti anda dengan mengatakan saya angkuh kenapa tidak Tan Sri (Annuar) tampil memberi keterangan mengenai duit tajaan daripada Pelaburan MARA dan UniKL yang dipaksa untuk menaja pasukan The Red Warriors (TRW).

"Sewaktu ekonomi negara tidak begitu baik dan banyak pemotongan di sana sini, masih tergamak Tan Sri menggunakan duit rakyat untuk pasukan TRW yang mana Tan Sri sendiri merupakan pengerusi MARA.

"Tidak cukup dengan pelaburan MARA yang Tan Sri paksa, UniKL juga turut menjadi mangsa.

“UniKL terpaksa mengurangkan biasiswa pelajar-pelajar Malaysia dari RM2 billion kepada RM1.3 billion bagi tahun 2016," katanya dalam kenyataan di Facebook rasmi JDT, hari ini.

Tunku Ismail turut mendedahkan beberapa dokumen berkaitan penyaluran wang tajaan MARA dan UniKL kepada pasukan Kelantan. 
Beliau menggesa Annuar menjelaskan ke mana hala tuju pelaburan MARA dan UniKL tersebut yang merupakan wang rakyat.

Terdahulu, timbul perdebatan secara di Facebook antara kedua-dua tokoh tersebut susulan kejayaan pemain bola sepak Pulau Pinang, Faiz Subri yang berjaya merangkul Anugerah Puskas Fifa 2016, Selasa lalu.
Tunku Ismail mendakwa Faiz bakal dipergunakan pihak-pihak tertentu demi mencapai populariti.

Bagaimanapun, Annuar semalam mengkritik prestasi skuad Harimau Selatan yang dikatakan bernasib baik berjaya melangkah ke saingan akhir Piala AFC 2015.

Pada masa sama, ketua penerangan Umno itu memuji kejayaan Faiz yang juga bekas pemain Kelantan sebelum ini, manakala Tunku Ismail dilihat memilih untuk memberi peringatan agar kejayaan pemain itu tidak dipergunakan pihak tertentu.

Sementara itu TMJ berkata, beliau telah menjangka lebih awal lagi kemenangan Faiz pasti akan mendapat perhatian individu-individu, terutama sekali ahli-ahli politik yang ingin melonjakkan kembali reputasi mereka yang sedang merudum.

Tunku Ismail turut menempelak Annuar yang dikatakan sentiasa tidak berpuashati kepadanya dan seorang lagi menteri yang didakwa menganggap beliau seorang yang angkuh.

"Saya akan suruh menteri yang pernah mabuk datang mengadap saya untuk menerangkan kepada rakyat Malaysia siapa wanita yang berkerja di sebuah syarikat di Johor.

"Ingat, jangan dikejutkan harimau yang sedang tidur. Saya tidak kacau orang, jadi jangan menggangu saya," katanya.

Annuar Musa: Kenapa saya kena jawab 'hujah bodoh'?

No comments:

Post a Comment