Saturday, February 11, 2017

'Ada menteri Kabinet akan letak jawatan'.Azmin sengaja buat cerita, kata Ismail Sabri

 FMT| February 11, 2017
Menteri kemajuan luar bandar dan wilayah itu berkata Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berbuat demikian bagi mengalih perhatian daripada isu dalaman Pakatan Harapan yang semakin membarah.
Ismail-Sabri-Yaakob_azmin-ali_600
PETALING JAYA : Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata beliau percaya menteri besar Selangor hanya sengaja membuat cerita kononnya ada menteri Kabinet meletakkan jawatan.

Menteri kemajuan luar bandar dan wilayah itu berkata Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang juga timbalan presiden PKR berbuat demikian bagi mengalih perhatian daripada isu dalaman Pakatan Harapan.

“Tak pernah dengar angin-angin pun (kononnya menteri Kabinet letak jawatan). Yang pasti bukan saya.
“Saya percaya Azmin sengaja buat cerita untuk alihkan perhatian kepada su dalaman Pakatan Harapan yang semakin membarah,” katanya kepada FMT hari ini.

Petang semalam, Azmin menulis di Twitter mengenai seorang menteri kanan meletak jawatan berhubung isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
FMT menghubungi beberapa menteri yang berkata mereka tidak mempunyai maklumat mengenai dakwaan itu.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed menolak kenyataan Azmin di Twitter itu dan berkata ia “cerita nakal” untuk mengelirukan orang ramai menjelang pilihan raya umum.
1MDB menjadi isu semasa rombakan Kabinet pada Julai 2015, yang menyebabkan Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Shafie Apdal dilucutkan daripada jawatan masing-masing iaitu timbalan perdana menteri dan menteri pembangunan luar bandar dan wilayah.

Pada Jun tahun lepas, Datuk Seri Ahmad Husni Mohamad Hanadzlah juga mengumumkan beliau meletakkan jawatan sebagai menteri kewangan ke-2, berkata “tertekan” dengan kontroversi 1MDB.

No comments:

Post a Comment