Thursday, February 2, 2017

Anwar nafi cuba guling Mahathir pada 1998

Bekas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menafikan dakwaan yang dibuat oleh tiga orang saksi yang dibawa oleh Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar bahawa beliau merancang untuk mengulingkan Tun Dr Mahathir Mohamad daripada jawatan presiden Umno pada tahun 1998.

Ketika memberi keterangan dalam saman fitnahnya terhadap Khairy di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini, beliau berkata dakwaan itu adalah palsu dan rekayasa politik selepas pemecatannya pada tahun 1998.

"Tidak ada pemilihan parti (Umno) pada tahun 1998. Majlis Tertinggi kemudiannya memutuskan tiada pertandingan bagi jawatan presiden dan timbalan presiden.
"Pada mesyuarat itu, saya menyokong usul tiada pertandingan bagi jawatan presiden tetapi bagi jawatan lain, termasuk jawatan saya sebagai timbalan presiden, boleh dipertandingkan.
“Kenyataan saya dilaporkan media," katanya, merujuk laporan The Star bertarikh 11 Mei 1998.

Beliau mendakwa bahawa isu dirinya mencabar Mahathir tidak pernah tidak timbul, walaupun naib presiden ketika itu, Najib (Abdul Razak), Muhyiddin (Yassin) dan Abdullah Ahmad Badawi mahu beliau membawa beberapa isu mengenai Proton, Perwaja, Empangan Bakun dan lain-lain kepada presiden parti.
"Saya diminta oleh beberapa naib presiden untuk menyampaikan kepada PM (Mahathir) pandangan (sesetengah) pemimpin dan akar umbi.

“Di sebalik semua ini, isu mencabar presiden tidak timbul," katanya.
Beliau mengulas keterangan yang dibuat oleh Datuk Lokman Adam, Datuk Ishak Ismail (ADUN Lenggeng) dan Ali Shikh yang memberi keterangan di mahkamah sebelum ini bahawa Datuk Ezam Mohd Noor telah memberitahu mereka bahawa Anwar mahu menjatuhkan Mahathir.

No comments:

Post a Comment