Saturday, February 4, 2017

Banduan hukuman mati di Singapura beralih ke mahkamah Malaysia

 | February 3, 2017
Pekerja kilang K Datchinamurthy mahu menghentikan pelaksanaan hukuman yang akan dijalankan pada bila-bila masa.
lawa_banduan_600
KUALA LUMPUR: Seorang lagi banduan menunggu hukuman mati memohon bantuan mahkamah Malaysia untuk memaksa Putrajaya memulakan prosiding undang-undang terhadap Singapura kepada tribunal antarabangsa kerana menafikan perbicaraan adil terhadap dirinya.

Pekerja kilang K Datchinamurthy, yang didapati bersalah mengedar dadah, juga mahu pengisytiharan daripada mahkamah yang Putrajaya bertanggungjawab melindungi nyawa dan kebebasannya.

Dalam permohonan kebenaran semakan penghakiman hari ini, lelaki berusia 32 tahun menamakan menteri luar dan kerajaan Malaysia sebagai responden.
Beliau juga meminta sebarang relif lain yang difikirkan wajar oleh mahkamah.
Ibu Datchinamurthy, A Letchumi, mengesahkan afidavit bagi menyokong permohonan anaknya.

Peguam N Surendran berkata, permohonan ini dibuat memandangkan anak guam dan keluarganya kehabisan cara untuk menghentikan pelaksanaan hukuman daripada dijalankan bila-bila masa sekarang.
Peguam hak asasi manusia berkata terdapat kes di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) berhubung keputusan panel 15 hakim terhadap pertikaian Mexico dan Amerika Syarikat (AS).

ICJ mendapati AS melanggar obligasinya di bawah Konvensyen Vienna mengenai Hubungan Konsular tidak membenarkan perwakilan undang-undang daripada konsulat Mexico bertemu warganya yang ditangkap dan dipenjarakan bagi jenayah di AS.

Surendran berkata anak guamnya beralih kepada ICJ kerana ia menjadi kewajipan menyediakan perbicaraan yang adil sebagai sebahagian daripada undang-undang antarabangsa yang merangkumi semua negeri.
Datchinamurthy gagal dalam rayuan terakhirnya di Mahkamah Rayuan Singapura pada 5 Feb tahun lepas.

Pada 18 Nov 2011, tertuduh bersama warga Singapura, J Christeen ditahan pegawai Biro Narkotik Pusat (CNB) bagi kesalahan dadah.
Dua tahun lalu, Mahkamah Tinggi menjatuhkan hukuman mati kepada kedua-duanya selepas didapati bersalah mengedar 44.96g diamorphine, kesalahan di bawah Akta Penyalahgunaan Dadah.
Bagaimanapun, Christeen terselamat hukuman mati kerana memberikan “bantuan substantif” kepada CNB.

“Saya percaya Christeen mendapat layanan berbeza walaupun kedua-duanya didapati bersalah atas kesalahan yang sama di Mahkamah Tinggi,” kata Letchumi.
Beliau berkata anaknya sudah melakukan segala remedi undang-undang domestik di republik itu dan petisyen pengampunan tetapi tidak menerima sebarang maklum balas daripada presiden Singapura.

Letchumi berkata peruntukan dalam Akta Penyalahgunaan Dadah bertentangan dengan doktrin pengasingan kuasa, pelanggaran peraturan asas keadilan semulajadi dan bertentangan Perlembagaan Singapura.
“Selamatkan anak saya, selamatkan anak saya daripada tali gantung. Dia bukan pengganas,” katanya.

Presiden sebuah NGO hak asasi manusia di Singapura, Leong Sze Hian turut hadir, berkata statistik terkini menunjukkan terdapat 24 orang menunggu hukuman mati dan 9 adalah rakyat Malaysia.

“Saya percaya 2 orang sudah dihukum,” kata Leong.
Turut hadir bekas peguam Datchinamurthy, M Ravi, yang merupakan seorang aktivis hak asasi manusia terkemuka.
Pada 16 Jan, Prabagaran Srivijaya, yang sedang menunggu dihukum gantung kerana mengedar dadah, juga memfailkan permohonan sama di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
FMT

No comments:

Post a Comment