Wednesday, February 8, 2017

Dr M akui sukar untuk keluar dari imej ultra Melayu

Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini memberitahu betapa pentingnya mendapat sokongan majoriti jika ingin memenangi sesebuah pilihan raya.
Menceritakan pengalamannya yang pernah dipecat Umno oleh perdana menteri pertama yang juga presiden Umno ketika itu, Tunku Abdul Rahman, Mahathir berkata beliau 'bangkit' kembali daripada sokongan majoriti yang diperolehinya.
"Walaupun Tunku memecat saya namun selepas itu saya bangun balik sebab komuniti majoriti ini.

"Tetapi ada harga yang perlu dibayar. Jika saya bercakap untuk Melayu, ia seperti memberi imej bahawa saya ini ahli politik yang anti Cina. Saya bukan anti Cina tapi saya dipanggil ultra Melayu.

"Pada pilihan raya 1969, saya bertanding di kawasan Melayu yang kuat. Tapi saya kalah sebab saya hanya dapat sokongan Melayu sahaja tapi pengundi Cina saya tak dapat disebabkan gelaran ultra Melayu.

"Bila dilabel sebagai ultra Melayu, apa yang anda buat, anda kata akan menjadi ultra. Ia keterlaluan. Susah nak keluar dari label itu. Jadi saya halang perkara ini dengan fikir bahawa perlunya sokongan Melayu tetapi tidak menyinggung orang Cina," katanya ketika berucap di persidangan Meja Bulat Selamatkan Malaysia di Petaling Jaya.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas pembentangan Selamatkan Malaysia oleh Naib Presiden PKR Rafizi Ramli yang sebelum ini memberitahu, 40 peratus Melayu akan tetap mengundi BN.

Turut hadir pada persidangan itu ialah Penasihat DAP, Lim Kit Siang, Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH) Mohamad Sabu dan Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Bagaimanapun, perdana menteri keempat Malaysia itu menceritakan, beliau kemudian mendapat semula sokongan Cina selepas mengambil masa yang sangat lama.

Katanya, ia juga ekoran beberapa perkara yang berlaku pada tahun 1999.
"Saya kalah dulu sebab Cina rasa saya ini ultra Melayu. Saya mengambil masa yang sangat lama untuk dapatkan kembali keyakinan mereka.
"Tapi saya hilang pula undi Melayu pada 1999 atas sebab tertentu. Saya menang sebab sokongan Cina, bukan Melayu," katanya.

Sehubungan itu, beliau memberitahu bahawa pentingnya untuk mendapat sokongan majoriti daripada semua kaum untuk memenangi pilihan raya.
"Kita perlu tunjukkan pada mereka (kaum Melayu) yang kita ambil berat terhadap apa yang mereka takutkan tetapi tidak menjadikan Cina sebagai lawan atau musuh," katanya lagi.
Malaysiakini

No comments:

Post a Comment