Friday, February 10, 2017

Dr M, Muhyiddin mungkin beri keterangan kes saman Anwar

 | February 10, 2017
Mahkamah memberi masa seminggu kepada peguam untuk berbincang sebelum membuat keputusan muktamad memanggil Dr Mahathir dan Muhyiddin sebagai saksi.
mahathir_muhyiddin_600 
KUALA LUMPUR: Dua bekas pemimpin negara mungkin dipanggil untuk memberi keterangan dalam kes saman fitnah RM100 juta difailkan Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin.

Peguam R Sivarasa yang mewakili Anwar memaklumkan perkara itu kepada Hakim Mahkamah Tinggi Azizul Azmi Adnan sebelum prosiding perbicaraan yang masuk hari ke-8 itu bermula dan hakim itu kemudiannya mengarahkan Sivarasa memfailkan pernyataan saksi, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum 16 Feb.

Sivarasa berkata pihaknya turut memanggil Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Anggota Parlimen Nibong Tebal Datuk Mansor Othman dan Setiausaha Agung PKR Datuk Saifuddin Nasution Ismail untuk memberi keterangan dan mereka memfailkan pernyataan saksi kepada mahkamah.

Sementara itu, Sivarasa ketika ditemui pemberita di luar mahkamah berkata mahkamah memberi masa seminggu untuk pihaknya berbincang sebelum membuat keputusan muktamad berhubung perkara itu (memanggil Dr Mahathir dan Muhyiddin sebagai saksi).

Katanya, kedua-dua pemimpin itu mungkin dipanggil bagi membuktikan dakwaan Anwar dalam kes saman berkenaan.
Dalam prosiding hari ini, peguam Manjeet Singh Dhillon yang merupakan saksi Anwar dipanggil untuk memberi keterangan.

Dr Mahathir meluangkan masa selama 40 minit bersama Anwar selepas prosiding kes itu manakala Khairy dan Muhyiddin turut hadir di awal prosiding dan mereka meninggalkan mahkamah kira-kira 9.30 pagi.

Pada 7 Mac 2008, Anwar memfailkan saman terhadap Khairy bagi menuntut ganti rugi RM100 juta atas dakwaan Khairy yang ketika itu naib ketua Pemuda Umno mengeluarkan perkataan memfitnah terhadapnya dalam ceramah di Lembah Pantai di sini pada 20 Feb 2008.

Anwar mendakwa perkataan memfitnah dan klip video bertajuk “Anwar and kin no threat” dimuat naik dalam beberapa laman web termasuk Malaysiakini.
Prosiding di hadapan Azizul Azmi bersambung 20 Feb ini.
FMT

No comments:

Post a Comment