Sunday, February 26, 2017

Dr Mahathir minta penyokong reformasi ‘lupakan yang lama’

 FMT| February 25, 2017
Bekas perdana menteri itu yang dipersalahkan atas penahanan timbalannya, Anwar pada 1998 berkata, tumpuan sekarang ialah menjatuhkan kerajaan BN.
mahathir_anwar_prote_600
SHAH ALAM: Tun Dr Mahathir Mohamad yang pernah menjadi punca demonstrasi jalanan di ibu negara kira-kira 2 dekad lalu hari ini menghadiri sebuah acara bekas pengkritiknya dan menasihatkan mereka melupakan kejadian silam.

“…saya ingin tekankan di sini akan pentingnya kita lupakan yang lama,” katanya pada Konvensyen Reformis Malaysia yang dihadiri kira-kira 200 penyokong “reformasi” hari ini.

Reformasi ialah gerakan yang diketuai bekas ketua pembangkang dipenjarakan, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menuntut pembaharuan politik dan menyingkirkan perdana menteri ketika itu, Dr Mahathir, susulan pemecatan dramatik Anwar daripada Kabinet pada September 1998.

Ia kemudiannya mencetuskan beberapa protes besar-besaran anti-kerajaan di Malaysia sejak negara merdeka, dengan sejumlah penunjuk perasaan ditahan dalam perhimpunan hujung minggu mereka di Kuala Lumpur.
“Inilah sebabnya saya hadir pada hari ini,” kata Dr Mahathir kepada hadirin.
Namun, ucapannya mendapat pelbagai respons dengan ada yang melaungkan: “Tak boleh lupa Tun. 18 tahun Tun!”

Difahamkan, ucapan Dr Mahathir bukan sebahagian daripada program hari ini. Saari Sungib yang mengetuai sekumpulan bekas aktivis reformasi dipanggil Otai Reformis, memberitahu portal berita Malaysiakini yang bekas perdana menteri itu sendiri meminta untuk menghadiri acara berkenaan.
Di tengah-tengah laungan “Reformasi” dan “Bebas Anwar”, Dr Mahathir mengakui bukan semua orang yang suka beliau.

“Saya bukanlah orang yang disukai semua orang. Banyak yang masih tak suka,” katanya yang disusuli sorokan dan laungan “Betul, betul” daripada hadirin.
“Orang politik mesti terima hakikat dia tak akan disukai semua orang…yang lain nak kata saya Mahafiraun ke, mahazalim ke, itu dia boleh kata,” katanya merujuk label yang diberikan pengkritiknya.

Lelaki berusia 91 tahun itu meneruskan ucapannya dengan menggesa semua pihak bersatu bagi menjatuhkan kerajaan Barisan Nasional (BN).

“Apa yang utama ialah apakah kita boleh bersatu dan jatuhkan kerajaan Najib. Lepas itu kalau nak ambil tindakan ke atas saya, ambillah.
“Saya cuma minta ketepikan masalah-masalah lain, utamakan perjuangan untuk menjatuhkan kerajaan Barisan Nasional,” katanya sambil menambah tanpa kuasa, perjuangan tidak akan berjaya.

Katanya, tiada guna berjuang jika tidak tahu bagaimana untuk mengatur strategi bagi menjayakan matlamat.
“Selagi kita tidak mempunyai kuasa, perjuangan kita ini tidak akan berjaya.
“Jika kita benar-benar mahu reformasi, menang pilihan raya dahulu,” katanya

No comments:

Post a Comment