Tuesday, February 21, 2017

Kes Jong Nam: Jurukamera stesen TV Korea ditahan

 | February 21, 2017
Menurut jurucakap KBS, jurukamera itu ditahan kerana tidak membawa dokumen pengenalan diri serta pasport.
kbs-polisKUALA LUMPUR: Perkarangan Institut Perubatan Forensik Negara (IPFN) di Hospital Kuala Lumpur (HKL) kecoh sedikit awal pagi tadi, apabila polis menahan seorang pengamal media asing yang “berkampung” bersama puluhan media yang membuat liputan kes pembunuhan Kim Jong Nam.

Jurukamera Korean Broadcasting System (KBS) itu ditahan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Daerah Dang Wangi, DSP M Gunalan selepas 4 kenderaan pacuan empat roda polis bersama sepasukan Petugas Khas
Jenayah Terancang (STAFOC) tiba pada jam 1.40 pagi tadi.
Turut hadir Ketua Polis Daerah Dang Wangi, ACP Mohd Sukri Kaman.
Difahamkan, jurukamera KBS itu ditahan kerana dipercayai berada di sekitar IPFN dalam keadaan mencurigakan.

Menurut jurucakap KBS, jurukamera itu ditahan setelah didapati tidak membawa dokumen pengenalan diri serta pasport.
“Polis sudah membebaskan dia dalam masa setengah jam setelah kami membawa dan menunjukkan segala dokumen yang perlu,” katanya kepada pemberita hari ini.

Mohd Sukri ketika dihubungi Bernama berkata, kehadiran sepasukan STAFOC bukan kerana membawa anak sulung mendiang Jong Nam, iaitu Kim Han Sol, 21, yang dijangka hadir ke IPFN untuk membuat pengecaman mayat dan ujian Deoksiribonukleik Asid (DNA).

Puluhan petugas media tempatan dan antarabangsa berkumpul di IPFN sejak 5 petang semalam bagi menunggu Han Sol yang dijangka hadir ke IPFN untuk melakukan ujian DNA bagi urusan menuntut mayat, selain membantu siasatan kes itu, namun kelibat beliau tidak kelihatan sehingga awal pagi ini.

Ujian DNA yang akan dibuat Han Sol adalah untuk pengesahan identiti seperti dikehendaki pihak berkuasa Malaysia.
Jong Nam yang merupakan abang kepada pemimpin tertinggi Korea Utara, Kim Jong Un, meninggal dunia pada 13 Februari lalu ketika dalam perjalanan ke hospital.

Beliau dilaporkan berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) sementara menunggu penerbangannya ke Macau, apabila diserang 2 wanita dengan mukanya ditekup kain dipercayai mengandungi cecair beracun.
FMT

1 comment: