Thursday, February 2, 2017

Masyarakat Yahudi pelawa umat Islam guna kuil mereka

 | February 2, 2017
Pemimpin Yahudi setempat berkata mereka bersimpati dengan umat Islam yang kehilangan satu-satunya masjid di bandar kecil itu.
victoria-islamic-centre
PETALING JAYA: Masyarakat Yahudi di sebuah bandar kecil di Texas menyerahkan kunci rumah ibadat mereka kepada masyarakat Islam di situ, membenarkan umat Islam mengerjakan solat di bangunan itu selepas satu-satunya masjid bandar itu musnah dijilat api baru-baru ini

“Beberapa penduduk Yahudi mengunjungi rumah saya lalu menyerahkan kunci sinagog mereka,” Shahid Hashmi, pengasas Pusat Islam Victoria, memberitahu akhbar New York Times (NYT).

Menurut presiden Kuil Bnai Israel, Robert Loeb, tindakan itu didorong rasa simpati mereka terhadap penduduk Islam yang kini kehilangan tempat berkumpul.
“Semua orang saling mengenali. Saya mengenali beberapa pengunjung masjid, dan kami bersimpati dengan mereka,” Loeb memberitahu NYT.
“Masyarakat Yahudi di Victoria hanya berjumlah 25 hingga 30 orang, dan umat Islam pula 100 orang. Kami mempunyai ruang bangunan besar untuk penganut Yahudi yang berjumlah kecil,” tambah Loeb.

Hubungan erat yang ditunjukkan penduduk Yahudi itu bukan sesuatu yang asing bagi penduduk di Victoria yang hanya berjumlah 65,000 orang itu.
Beberapa tahun lalu, gereja, masjid dan sinagog menganjurkan program 3 minggu bagi merapatkan hubungan di kalangan penganut masing-masing.

Kebakaran pusat Islam itu berlaku beberapa jam selepas Presiden Amerika Syarikat Donald Trump mengarahkan pengharaman rakyat dari 7 negara majoriti Islam ke negara itu selama beberapa bulan dengan alasan keselamatan negara.
Pihak berkuasa bagaimanapun tidak menemui sebarang bukti mengaitkan kebakaran masjid berkenaan dengan perintah Trump.

Awal minggu ini, pusat itu berjaya mengumpul hampir AS$1 juta selepas hanya 2 hari melancarkan kutipan derma atas talian.

No comments:

Post a Comment