Sunday, February 19, 2017

Negara ‘kucar-kacir’ bukan kerana Kit Siang

Lim Kit Siang
Lim Kit Siang - Foto Sinar Harian oleh SAFWAN MANSOR
SHAH ALAM – Bekas veteran Umno, Tan Sri Sanusi Junid menyenaraikan beberapa isu yang kebanyakannya timbul bukanlah berpunca daripada Penasihat DAP, Lim Kit Siang, sebaliknya ia adalah kegagalan pentadbiran kerajaan hari ini.

Menerusi blognya, sanusijunid.blogspot.com, Sanusi menyenaraikan 29 isu-isu penting negara yang tidak satu pun bersangkut paut dengan pimpinan utama DAP itu.

“Semua isu-isu yang timbul sejak Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak menjadi Perdana Menteri dan Menteri Kewangan tidak melibatkan Kit Siang.
“Antara isu-isu tersebut adalah dengan pengenalan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) di mana Kit Siang tidak mencadang atau menyokong pengenalannya. Ia ternyata membebankan rakyat jelata.

“Kit Siang tidak mencadang atau menyokong keputusan menghapuskan subsidi sehingga naik harga barang, tol, petrol dan diesel,” katanya.
Jelas beliau lagi, Kit Siang juga tidak pernah bersetuju untuk menggunakan wang Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP) untuk melabur dalam perniagaan atau perusahaan yang tidak menguntungkan.

“Kit Siang tidak pernah dirundingi untuk menukar surat hak-milik tanah peneroka Felda yang sangat bernilai dan tidak turun harganya dengan sijil saham yang tidak menentu harganya dan kini harga sahamnya merudum turun kerana dilanda kerugian.

“Beliau tidak pernah menjadi perajurit dalam angkatan tentera dan tidak tahu menahu mengenai Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT); beliau tidak terlibat dalam keputusan menggunakan wang tabung LTAT untuk membiayai projek yang tidak menguntungkan,” katanya.

Sanusi menambah, Kit Siang tidak pernah meminjam duit Majlis Amanah Rakyat (Mara) untuk berniaga atau sebagai biasiswa waktu beliau belajar; beliau juga tidak pernah merestui penyelewengan yang kini dikatakan berlaku dalam Mara.
“Selain itu, Kit Siang belum memeluk agama Islam dan tidak pun tahu mengenai salah guna wang Lembaga Urusan dan Tabung Haji untuk pelaburan yang merugikan.

“Lagi pula beliau tidak pernah membayar zakat dan kerana itu beliau tidak tahu pejabat agama mengadakan lawatan ke Paris sebagai salah satu acara dalam ‘Kursus Pernikahan’,” katanya.

Dalam blog itu lagi Sanusi menjelaskan mengenai biasiswa anak-anak Melayu yang dikurangkan, perkhidmatan Peguam Negara yang ditamatkan, pertukaran pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), serta halangan Bank Negara Malaysia dari mengambil tindakan atas penyelewengan dalam institusi kewangan  dalam dan luar negara.

“Banyak lagi isu-isu ini yang langsung tiada kaitan dengan Kit Siang. Beliau tidak bertanggungjawab, malah tidak tahu menahu mengenai penubuhan 1MDB; tidak pernah menjadi penasihat atau ahli lembaga pengarah, pegawai atau pekerjaa di 1MDB.

“Alangkah baiknya jika ramai pemimpin Melayu seperti Kit Siang. Salahkah Tun Dr Mahathir Mohamad untuk bergabung tenaga dengan Kit Siang, dan mereka yang sejenis sikap dengannya,  untuk sama-sama menentang penyelewengan, rasuah dan pengkhianatan kepada negara?

“Salahkah Dr Mahathir untuk membetulkan kesilapannya kerana telah salah menanam budi dan memilih pengganti-penggantinya yang tidak disangka menjadikan negara dipandang hina seperti sekarang dan rakyat jelata menderita kerana beban hutang negara yang bertimbun dan tidak mungkin selesai dibayar oleh anak, cucu dan cicit kita semua,” katanya.

No comments:

Post a Comment