Wednesday, February 1, 2017

Persempadanan semula, Bersih pertimbang rayuan terhadap SPR

 FMT| February 1, 2017
Maria Chin Abdullah akan berbincang dengan peguam mengenai kesan menggugurkan rayuan terhadap SPR berhubung pelaksanaan persempadanan semula.
mariachin
PETALING JAYA: Pengerusi Bersih 2.0 Maria Chin Abdullah akan mendapatkan nasihat peguamnya sama ada mahu meneruskan atau tidak rayuan bantahan terhadap Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kerana didakwa gagal mematuhi undang-undang ketika melaksanakan persempadanan semula.

“Kami akan berbincang dengan peguam mengenai kesan tidak meneruskan rayuan itu dalam tempoh beberapa hari ini,” katanya kepada FMT.
Mahkamah Rayuan menetapkan 13 Februari untuk mendengar rayuan Maria di hadapan panel khas.

Pada hari sama, panel yang sama akan mendengar rayuan peguam negara terhadap perintah Mahkamah Tinggi yang membenarkan kebenaran untuk semakan kehakiman yang difailkan Nurul Izzah Anwar dan 10 pengundi untuk membatalkan cadangan SPR merangka semula kerusi Parlimen Lembah Pantai.
Nurul, yang juga pengarah pilihan raya PKR semalam turut mempertikaikan tarikh awal yang diberikan pentadbir Mahkamah Rayuan untuk mendengar rayuan peguam negara.

Merit semakan kehakiman yang difailkan Selangor pada masa ini didengar di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Maria, yang memfailkan tuntutan itu atas kapasitinya sebagai pengundi Petaling Jaya Utara pada Oktober, memohon mahkamah mengisytiharkan pelaksanaan persempadanan semula di semenanjung sebagai tidak sah dan terbatal.
Ini kerana SPR enggan menyediakan maklumat berdasarkan keluasan tanah di setiap kawasan parlimen dan DUN di semenanjung.

Bagaimanapun, sebulan kemudian Hakim Azizul Azmi Adnan menolak permohonan Maria untuk mencabar cadangan persempadanan semula SPR kerana katanya beliau terikat dengan keputusan Mahkamah Rayuan.

Hakim berkata mahkamah rayuan menterjemahkan peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan dan SPR tidak perlu menyediakan butiran seperti keluasan tanah kawasan pilihan raya sebelum menjalankan cadangan persempadanan semula.

Pada 15 September, SPR mengiklankan notis di akhbar utama mengenai persempadanan semula kawasan pilihan raya di semenanjung dan Sabah.
Pada masa ini, SPR menjalankan inkuiri untuk menyediakan laporannya untuk diserahkan ke Parlimen, di mana ia perlu dilakukan dalam tempoh 24 bulan.
Sejak itu, 5 pihak yang tidak berpuas hati terutama kerajaan negeri Selangor, mengheret SPR dan pengerusinya, Datuk Seri Mohd Hashim Abdullah ke mahkamah.

Semalam, SPR dan Hashim sekali lagi berdepan tindakan undang-undang apabila kali ini seorang pengundi dinafikan haknya untuk diwakili peguam ketika inkuiri tempatan.

No comments:

Post a Comment