Friday, February 17, 2017

RUU Hadi: Hukuman maksimum terdedah disalah guna, kata bekas hakim

FMT | February 17, 2017
Masyarakat umum, wakil rakyat berhak diberi penjelasan, terutama apabila hukuman sedia ada di mahkamah syariah dianggap tinggi, kata Datuk Mohamad Ariff Md Yusof.
hadi-akta-355KUALA LUMPUR: Usul dibawa Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang untuk meminda hukuman bagi pesalah syariah memang mengikut perlembagaan tetapi permintaan bagi hukuman maksimum itu agak keras, kata hakim bersara.

Datuk Mohamad Ariff Md Yusof berkata cadangan ahli Parlimen Marang itu untuk meningkatkan hukuman penjara hingga 30 tahun, denda RM100,000 dan 100 sebatan menerusi rang undang-undang (RUU) persendirian itu, tidak ada justifikasi.

“Saya cadangkan masyarakat sivil dan ahli politik tanya penganjur usul itu untuk menjustifikasikan kepada perlunya hukuman maksimum,” kata hakim mahkamah rayuan yang sudah bersara itu.
Ariff berkata denda maksimum RM5,000 pada masa sekarang sudah dianggap tinggi bagi hukuman dijatuhkan di mahkamah syariah.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ceramah umum bertajuk “Amendments to Shariah Courts (Criminal Jurisdiction) Act 1965 – Constitutional and Practical” di Fakulti Undang-undang Universiti Malaya semalam.
Pada masa ini, hukuman jenayah syariah ialah maksimum 3 tahun penjara, denda RM5,000 dan 6 sebatan.

Ariff berkata usul Hadi itu sah memandangkan hukuman itu hanya akan dikuatkuasakan kepada umat Islam di negara ini kerana melakukan kesalahan bertentangan dengan ajaran Islam.
Bagaimanapun, katanya cadangan hukuman maksimum itu akan membawa kesan buruk kerana setiap negeri akan melihat sesuatu kesalahan itu dengan cara berbeza.

“Anda tambah hukuman, tetapi ia boleh membawa kepada pelbagai jenis salah guna,” katanya memetik kes Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad yang didenda RM2,900 kerana menyampaikan ceramah tanpa tauliah di Kapar.
Denda maksimum bagi kesalahan itu di Selangor ialah RM3,000.
Khalid, dari parti Amanah kini berdepan risiko tidak boleh bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) kerana perlembagaan menyatakan ahli Parlimen tidak layak jika disabitkan bersalah dan dipenjarakan tidak kuran setahun atau denda tidak kurang RM2,000.

Ariff juga bersetuju dengan ramai pihak yang bertegas menyatakan pindaan versi Hadi untuk memperkasa hukuman syariah akan membenarkan pelaksanaan hudud di Kelantan dan Terengganu.

Beliau berkata Enakmen Kanun Jenayah Syariah Kelantan II 1993 (pindaan 2015) memperuntukkan 8 kesalahan hudud, dengan 3 daripadanya boleh dilaksanakan jika hukuman maksimum dipohon diluluskan di Parlimen.
Tiga kesalahan itu ialah qazaf (tuduhan zina palsu), al-lian (tuduhan zina palsu oleh suami terhadap isteri) dan syurb (minum arak).
Bagi kesalahan qazaf dan al-lian, pesalah berdepan hukuman 80 sebatan.

Mereka yang didapati bersalah minum arak boleh disebat minimum 40 kali dan maksimum 80 kali.
DUN Terengganu pada 2002 yang ketika itu ditadbir PAS juga meluluskan Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Hudud dan Qisas), tetapi pelaksanaannya ditangguhkan.

Menyatakan enakmen syariah Kelantan dan Terengganu memerlukan prosedur bukti yang ketat ketika mengendalikan kesalahan jenayah, Ariff mempersoalkan keperluan pelaksanaannya apabila kesalahan itu sukar dikuatkuasakan.
“Itu sebabnya ulama seperti Tariq Ramadan mendesak moratorium kepada pelaksanaan undang-undang jenayah syariah, dan sebaliknya fokus kepada nilai murni yang dianjurkan Islam,” katanya.

Ariff berkata bukan Islam ada hak untuk membahaskan cadangan Hadi kerana ia akan mengganggu ekonomi.
“Tanggapan umum penting. Perniagaan masyarakat bukan Islam boleh terjejas jika mereka berada dalam persekitaran seperti hudud,” katanya.

1 comment:

  1. 'Perniagaan masyarakat bukan Islam boleh terjejas jika mereka berada dalam persekitaran seperti hudud,” katanya'.

    sila bagi contoh.

    ReplyDelete