Tuesday, February 21, 2017

Semua kaum perlu pertahan kedaulatan negara: Amanah

Sinar Harian
Salahuddin Ayub
Salahuddin Ayub
SHAH ALAM - Isu keselamatan yang melibatkan kedaulatan negara perlu dipertahankan oleh semua kaum di negara ini.
Timbalan Presiden Parti Amanah Negara, Salahuddin Ayub berkata, sama seperti isu perkauman, soal keselamatan juga perlu dititik berat bagi mengelakkan sesetengah pihak cuba mengambil kesempatan terhadap negara.

"Isu 1MDB, MO1, misteri kehilangan MH370 dan pembunuhan Altantuya telah cukup untuk rakyat semua kaum di negara ini faham bahawa pintu keselamatan dan kedaulatan negara telah menjadi peluang kepada campur tangan kuasa asing dalam apa bentuk sekalipun.

"Kita tidak boleh melihat isu pemilikan bebas hartanah, pelaburan dan pinjaman dari negara asing seperti China dan negara-negara asing yang lain yang mencapai ratusan billion dolar AS secara berleluasa sebagai isu perkauman yang sempit," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya lagi, penyelesaian isu kedaulatan dan keselamatan negara tidak boleh dilalaikan dengan isu perkauman dan agama.
Sebaliknya, jelas Salahuddin lagi, rakyat dari semua kaum mesti berani untuk bersuara dan bertindak menentang segala urus tadbir negara yang pincang dan penyelewengan dasar-dasar utama negara yang membahayakan masa depan negara.

"Isu lain seperti lambakan pekerja asing dari Indonesia, Vietnam, Bangladesh dan Pakistan yang bukan sahaja menjejaskan peluang pekerjaan rakyat tempatan tetapi telah melebar luas ke sektor perniagaan dan pemilikan hartanah di negara ini.

"Oleh itu, kita perlu bersama pertahankan negara tercinta ini dari terus dicerobohi secara sedar dan sengaja oleh kuasa-kuasa asing yang sememangnya akan mengambil kesempatan terbaik dari tercalarnya imej negara di mata dunia luar hari ini," ujarnya.

No comments:

Post a Comment