Ketua Pesuruhjaya SPRM berkata, tapisan hanya dibuat jika ada permohonan daripada pihak yang mengeluarkan gelaran itu.
KAJANG: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedia mengkaji
keperluan untuk pihaknya menyaring bakal penerima gelaran darjah
kebesaran di negara ini bagi memastikan hanya individu yang berkelayakan
sahaja dikurniakan anugerah itu.
Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Dzulkifli Ahmad berkata setakat ini,
tapisan hanya dibuat jika ada permohonan daripada pihak yang
mengeluarkan gelaran itu.
“Kalau ada pihak yang memohon (untuk SPRM membuat tapisan sebagaimana
yang dilakukan oleh Polis Diraja Malaysia) kita akan kaji semua, sama
ada ia satu keperluan,” katanya kepada pemberita selepas melawat
beberapa premis agensi kerajaan di Kompleks Hentian Kajang, di sini hari
ini.
Beliau mengulas isu beberapa penerima darjah kebesaran membawa
gelaran “Datuk” dan “Datuk Seri” yang dikatakan terbabit dalam kegiatan
kongsi gelap baru-baru ini.
Pada 8 Feb lalu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk
Seri Mohmad Salleh mendedahkan seorang “Datuk Seri” dan 5 “Datuk” antara
114 anggota beberapa kumpulan kongsi gelap yang ditahan mengikut Akta
Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma) dalam Ops
Cantas sejak 2015.
Dalam pada itu, Dzulkifli berkata SPRM akan meneruskan program
lawatan ke agensi kerajaan di seluruh negara untuk mendekatkan
suruhanjaya itu dengan masyarakat.
“Program ini akan berterusan di seluruh negara, pengarah saya
diarahkan untuk membuat lawatan di setiap agensi kerajaan dari semasa ke
semasa.
“Kita akan memastikan di sana ada akses kepada rakyat untuk membuat
aduan, kekuatan daripada SPRM adalah sumber daripada rakyat, jadi kita
mohon dan seru orang ramai untuk tampil memberi maklumat kepada SPRM,”
katanya.
Menurutnya, kejayaan SPRM mengheret beberapa suspek berhubung kes
rasuah dan salah guna kuasa ke mahkamah adalah susulan kerjasama orang
ramai yang tampil memberi maklumat.
FMT
No comments:
Post a Comment