17/2/17
Sepasang suami isteri hari ini memfailkan saman terhadap
Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dan kerajaan Malaysia
susulan penangkapan dan penahanan mereka dalam satu operasi khalwat
bulan lepas, walaupun mereka telah berkahwin secara sah hampir tiga
tahun lalu.
Mohd Ridhuan Giman, 34, dan isterinya Siti Sarah Maulad
Abdullah, 26, serta ibu Ridhuan menamakan pegawai penguat kuasa Mohd
Shiham Ramli, Mohamad Izehar Md Amin, ketua pegawai penguat kuasa agama
JAWI, ketua pengarah JAWI, JAWI, Jabatan Perdana Menteri dan kerajaan
Malaysia sebagai defendan.
Saman sivil tersebut telah difailkan oleh tetuan Yusfarizal Aziz & Zaid di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
Tujuh pegawai penguat kuasa lelaki dan seorang penguat
kuasa wanita menyerbu hotel tersebut pada jam 1:30 pagi pada 8 Januari
lepas.
Dalam permohonan saman mereka, pasangan itu mendakwa
penguat kuasa JAWI mengetuk pintu bilik hotel mereka dan apabila Ridhuan
membuka pintu, pegawai JAWI menunjukkan kad kuasa mereka.
Tetapi sebelum Ridhuan dapat memastikan kad kuasa itu,
mereka merempuh masuk. Mereka masuk sambil Ridhuan memaklumkan kepada
mereka bahawa Siti Sarah tidak memakai pakaian sesuai yang menutup
aurat.
Ridhuan memaparkan gambar sijil nikah mereka serta
gambar perkahwinan yang berada di telefom bimbit beliau kepada
pegawai-pegawai JAWI.
Tetapi pegawai lelaki JAWI didakwa menyerbu masuk walaupun Siti Sarah minta diberi peluang memakai pakaian, tetapi mereka terus mengambil gambar dan video.
Tetapi pegawai lelaki JAWI didakwa menyerbu masuk walaupun Siti Sarah minta diberi peluang memakai pakaian, tetapi mereka terus mengambil gambar dan video.
Lanjutan daripada tindakan itu, berlaku pergelutan
antara Ridhuan dan Shiham. Shiham didakwa mencekik Ridhuan sehingga
menyebabkan kecederaan di leher.
Walaupun dipamerkan gambar sijil, Shiham dan pegawai lain didakwa enggan keluar dan seterusnya menahan pasangan tersebut.
Mereka mendakwa ketika Ridhuan dibawa ke lobi hotel,
Siti Sarah masih berada dalam bilik bersama pegawai penguat kuasa lelaki
JAWI. Siti Sarah meminta pegawai JAWI keluar dan ingin menutup pintu
bilik hotel tersebut tetapi Shiham menolak pintu tersebut dan
mengakibatkan tangan kiri wanita itu lebam.
Siti Sarah yang ketika itu bersinglet dan berseluar
pendek didakwa diminta memakai baju dengan kehadiran pegawai lelaki
tersebut. Mereka kemudian dibawa ke pejabat JAWI dan dikurung
berasingan.
Ibu Ridhuan kemudian datang membawa sijil pernikahan
asal pada malam yang sama untuk mendapatkan pelepasan mereka tetapi
mereka didakwa enggan terima sijil bertarikh 17 Oktober 2014 itu.
Akibat daripada pihak JAWI enggan terima salinan asal
sijil nikah itu, ibu Ridhuan terpaksa menandatangani bon persendirian
untuk memastikan kehadiran suami isteri tersebut.
Ridhuan dan Siti Sarah menghantar surat notis tuntutan
bertarikh Januari 11 dan 10 Januari, untuk mengarahkan Jawi
memberhentikan siasatan ke atas mereka dan tidak mendakwa mereka di
mahkamah atas kesalahan khalwat.
Bagaimanapun menurut peguam Yusfarizal Yusoff, bagi
pasangan tersebut sampai ke hari ini notis surat itu tidak dibalas. Ini
menyebabkan mereka memfailkan tindakan mahkamah ini.
Mereka mendakwa penahanan mereka tidak sah dan berlaku pelanggaran hak asasi mereka.
Ridhuan dan Siti Sarah menuntut ganti rugi am dan teladan serta kos bagi tindakan ini.
Malaysiakini
No comments:
Post a Comment