Sunday, February 26, 2017

Tak dosa bersama DAP, Amanah

Tak dosa bersama DAP, Amanah
Mahfuz (tiga, kiri) menyampaikan sumbangan bola kepada pasukan bola sepak Parti Amanah dan Bersatu bagi kawasan Bukit Pinang, kelmarin.
 
POKOK SENA - "Tak berdosa pun kalau nak sokong atau bersama gabungan pakatan pembangkang demi untuk masa depan negara dan rakyat,” kata bekas Naib Presiden Pas, Datuk Mahfuz Omar.
Menurutnya, beliau harap rakyat akan lebih rela kalau Pas buat u-turn untuk terima DAP dan Amanah.

"Walaupun orang anggap Pas buat u-turn, tetapi saya percaya rakyat akan melihat inilah pengorbanan yang perlu dilakukan oleh Pas.
“Saya rayu kepada Pas dan ahli-ahli Pas, ayuh mari bersama pembangkang, tak ada masalah," katanya pada ceramah perdana Pakatan Harapan dan Parti Bersatu di Pekan Bukit Pinang, di sini kelmarin.
Mahfuz berkata, Pas perlu buat pertimbangan untuk menerima semula DAP dan Amanah dalam gabungan pakatan pembangkang sebagai persiapan hadapi PRU14.

Katanya lagi, perkara ini perlu diberi perhatian serius oleh semua ahli dan kepimpinan parti demi masa depan negara, rakyat dan anak cucu.
“Selama ini saya berdiri adalah kerana rakyat, demi untuk negara dan kerana ALLAH. Walaupun ada orang cadang supaya saya keluar Pas, tetapi saya tetap sayang kepada parti kerana saya telah bina sekian lama dengan rakan-rakan lain yang telah pun keluar parti.

“Saya kesian dengan orang-orang bawah Pas yang telah bertungkus lumus membentuk parti ini untuk mengalahkan Umno/BN. Jadi sudah tentu saya tidak mahu melihat Pas terpinggir daripada arus perdana politik negara pada PRU14,” katanya.

Jelasnya lagi, keengganannya meninggalkan parti itu walaupun sering kelihatan bersama dalam program-program Pakatan Harapan adalah bertujuan untuk menyelamatkan Pas.

“Alhamdulillah, saya ucap terima kasih kepada Timbalan Presiden Parti Bersatu, Datuk Seri Mukhriz Mahathir yang tidak putus asa walaupun ditolak pelawaan kerjasama dan sebagainya, tetapi masih mengharap dan berbincang bersama Pas. Kita nak supaya semua parti ini di bangun dalam satu pakatan pembangkang yang kuat pada PRU14.

 “Saya bukan tuhan yang boleh menentukan kalah menang, tetapi kita dalam politik ini diajar dan dalam Pas sendiri pun dididik untuk buat perkiraan boleh menang atau tidak. Di mana kita boleh menang, di situ kita bertanding,” katanya.
Mahfuz yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena berkata, beliau juga mengakui bahawa Pas adalah sebuah parti yang amat kuat dari sudut struktur parti termasuk ahli, jentera dan kewangannya berbanding PKR, Amanah, DAP dan Parti Bersatu.

“Tetapi apabila datang pilihan raya, dia tak sama bahawa parti itu boleh menang. Kalau sorang-sorang sahaja tak mampu nak menang dan meraih kemenangan yang besar dalam pilihan raya. Kita mesti mendapat sokongan daripada orang yang berada di luar parti.

“Sebab itu bagi saya bahawa dengan gabungan pakatan sefahaman politik yang telah dibawa oleh (bekas Mursyidul Am Pas) Allahyarham Nik Abdul Aziz Nik Mat dan (bekas Presiden Pas) Allahyarham Datuk Fadzil Mohd Noor dahulunya satu yang sangat baik dan harus diteruskan untuk memastikan bahawa Pas bersama pakatan ini mampu membawa perubahan kepada masa depan negara,” katanya.
Menurutnya lagi, analisa yang dibuat mengenai pertandingan tiga penjuru pada PRU14 akan membawa kekalahan kepada Umno dan BN, serta Pas juga akan terpinggir daripada arus perdana politik negara khususnya di Kedah.

No comments:

Post a Comment