Friday, February 10, 2017

Tarik rambut demi selamatkan isteri

Sinar Harian
Tarik rambut demi selamatkan isteri
Wanita tergantung di udara kira-kira 3 minit.
SHAANXI - CHINA. Seorang lelaki di tengah China menyelamatkan isterinya yang cuba membunuh diri dengan terjun dari bangunan selepas berjaya menarik tocang rambut wanita itu bagi mengelakkan dia terjatuh.

Wanita yang berasal dari wilayah Shiquan di Shaanxi tergantung di udara kira-kira tiga minit dengan suaminya menarik rambutnya di bumbung sebuah bangunan sebelum polis tiba untuk menyelamatkannya, lapor Chinese Business View.
Wanita berusia 30-an itu cuba terjun dari bangunan setinggi 20 meter selepas pertengkaran keluarga pada Ahad, menurut laporan.

Pasangan itu menyewa di bangunan tingkat atas pangsapuri berkenaan.
Pegawai polis, Zuo Yu memberitahu akhbar, ketika mereka tiba, suami mangsa menarik rambut wanita itu yang diikat tocang dan hampir terlepas dari genggamannya.

"Jika polis lewat tiba hanya beberapa saat dan suaminya tidak lagi mampu menarik rambut mangsa untuk beberapa saat lagi, wanita itu mungkin tidak dapat diselamatkan," kata polis. 

Video insiden berkenaan yang tular menunjukkan polis memanjat penghadang untuk mendapatkan wanita itu dengan rakan sekerjanya memegang baju untuk menghalang dari terjatuh.

Suami mangsa juga berada di penghadang sambil menarik rambut isterinya sementara polis menarik jaket bagi memastikan dia selamat.
Polis berkata, wanita itu bernasib baik kerana sebahagan daripada tubuh wanita itu disokong paip berukuran 30cm yang dapat menampung berat badanya.
"Tanpa sokongan dari paip berkenaan, wanita itu akan terjatuh walaupun ditarik oleh suaminya," kata polis dipetik South China Morning Post.

No comments:

Post a Comment