Wednesday, March 8, 2017

Amanah: Jelaskan penglibatan Malaysia dalam perang Yaman

 | March 7, 2017
Raja Bahrin berkata laporan panel pakar kepada Majlis Keselamatan PBB menyebut Malaysia terlibat dalam kempen ketenteraan Arab Saudi
bahrin
KUALA LUMPUR: Kerajaan digesa berterus terang tentang penglibatan Malaysia dalam kempen ketenteraan Arab Saudi di Yaman susulan pendedahan laporan PBB baru-baru ini.
Ahli Parlimen Kuala Terengganu Raja Bahrin Shah berkata pembabitan Malaysia disebutkan dalam dokumen Panel Pakar Ehwal Yaman kepada Majlis Keselamatan PBB pada 11 Januari dan diterima pakai pada 27 Januari.

“Malaysia tidak boleh mendakwa tidak mengetahui dan tidak mengiktirafkan laporan panel ini kerana Malaysia juga menjadi ahli jawatankuasa (PBB) tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kementerian pertahanan sebelum ini nafi Angkatan Tentera Malaysia terlibat, menyifatkan dakwaan itu sebagai “berniat jahat, tuduhan tidak berasas dan memburukkan kementerian dan Malaysia.”

Ia berkata penghantaran kakitangan ATM ke Arab Saudi pertama sekali untuk mempersiapkan mereka berdepan sebarang kemungkinan, termasuk memindahkan rakyat Malaysia yang berada di Yaman, sekiranya perlu.
Kementerian menambah ATM dijemput Arab Saudi untuk mengambil bahagian dalam latihan ketenteraan “Northern Thunder”, bertujuan untuk mengukuhkan perpaduan negara Islam, bukan tertumpu kepada operasi ketenteraan di Yaman.

Menurut laporan PBB, operasi udara di Yaman berada di bawah kawalan operasi sebuah ibu pejabat bersama, diketuai Arab Saudi dan berpangkalan di Riyadh, dan bertanggungjawab dalam perancangan, memutuskan atau melaksanakan serangan udara.

“Amerika Syarikat juga turut bersama memberi sokongan logistik dan aktiviti perisikan,” menurut laporan PBB itu.
“Ketua operasi bersama yang diketuai Arab Saudi menyatakan pegawai dari Perancis, Malaysia dan United Kingdom bertempat di ibu pejabat bersama,” tambahnya.

Malaysia juga disenaraikan dalam kalangan negara yang dihubungi oleh panel PBB dalam siasatan mereka.
Pengerusi biro antarabangsa Amanah itu berkata laporan PBB melaporkan beberapa serangan yang diketuai Arab Saudi menghalang bekalan perubatan dan makanan ke rakyat Yaman.
Katanya lagi kebanyakan serangan sekutu Arab Saudi melibatkan sasaran awam seperti hospital serta dewan orang ramai yang mengorbankan kanak-kanak serta orang awam.

Beliau menyeru kerajaan menjelaskan pembabitan sebenar Malaysia dalam kempen itu.
Perang di Yaman melarat pada Mac 2015 selepas Arab Saudi melancarkan operasi ketenteraan untuk menyokong Presiden Abedrabbo Mansour Hadi melawan pemberontak Yaman.

Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Hak Asasi Manusia PBB berkata lebih 7,500 orang terbunuh dalam peperangan itu dan 40,000 lagi cedera pada penghujung Februari. Ia termasuk 4,667 orang awam yang kehilangan nyawa dan 8,180 orang yang tercedera

No comments:

Post a Comment