Monday, March 6, 2017

DAP: Kenapa banyak polis di ‘vigil’ berbanding ketika protes Jamal?

 | March 6, 2017
Speaker DUN Selangor berkata tiada pun aktiviti provokatif atau ucapan berunsur politik pada acara menyalakan lilin untuk Pastor Koh yang masih hilang sejak 3 minggu lalu.
Hannah-Yeoh-PETALING JAYA: Speaker DUN Selangor Hannah Yeoh berkata beliau kecewa apabila “terlalu ramai polis” dan sekatan jalan berlaku di Shah Alam malam tadi ketika acara “vigil” untuk Pastor Raymond Koh diadakan secara aman malam tadi.

Membandingkan ia dengan pengawasan dan tahan keselamatan ketika protes provokatif diketuai Ketua Umno Bahagian Sungai Besar Datuk Seri Jamal Yunos baru-baru ini, Yeoh berkata perbezaannya sangat ketara.
“Beberapa sekatan jalan dan anggota polis yang terlalu ramai menyebabkan kekeliruan yang tidak sepatutnya. Tidak ada ucapan provokatif atau politik. Hanya ucapan ringkas daripada isteri Pastor Koh mengucapkan terima kasih kepada semua dan meminta mendoakan suaminya.

“Saya bekerja di Shah Alam, hanya 100 meter dari tempat vigil itu dan saya selalu melihat protes provokatif diketuai Jamal.
“Perbezaan pengawasan antara vigil menyalakan lilin yang aman dengan beberapa protes provokatif di kawasan sama terlalu ketara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Bagaimanapun, naib presiden DAP Selangor itu berkata beliau kagum dengan kepelbagaian 300 orang yang hadir semalam, menyalakan lilin untuk pemimpin Kristian yang diculik pada 13 Februari dan masih hilang tanpa sebarang maklumat terkini daripada polis.
“Saya jumpa seorang gadis Muslim datang dari Kota Bharu untuk menunjukkan sokongannya malam tadi.

“Saya juga melihat ramai pemimpin beragama Islam di acara itu termasuk Presiden Amanah Mohamad Sabu, Naib Presiden Amanah Datuk Mujahid Yusof Rawa dan Pengarah Strategik Amanah Dzulkefly Ahmad,” katanya yang juga Adun Subang Jaya.

Wakil rakyat Pakatan Harapan yang turut hadir pada acara itu ialah Ahli Parlimen Kelana Jaya Wong Chen (PKR), Adun Damansara Utama Yeo Bee Yin (DAP) dan Adun Seri Andalas Xavier Jayakumar (PKR).

Penganjur acara itu, Pastor SM Yee berkata perhimpunan itu pada mulanya hendak diadakan di depan ibu pejabat polis Selangor, tetapi polis mengarahkan ia dibuat di kawasan Plaza Masalam, di Seksyen 9, di mana kira-kira 50 anggota polis berkawal di situ.
Yeoh mendesak polis mengambil tindakan terhadap kes itu, apatah lagi penculikan berlaku di depan rumah pada waktu siang.

“Saya mendesak Kementerian Dalam Negeri dan ketua polis negara menggerakkan sumber mencukupi untuk menyelesaikan penculikan misteri ini, bukan saja untuk keluarga pastor tetapi ketenteraman rakyat Malaysia,” katanya.
Koh, 62, diculik sekumpulan lelaki bertopeng di Jalan SS4B/10, kurang 100 meter dari Kompleks Perumahan Polis di Kelana Jaya pada 13 Februari. Mangsa memandu kereta Honda Accord berwarna perak dengan nombor plat ST 5515 D.
Beliau dalam perjalanan ke rumah rakannya di Kelana Jaya ketika diculik dan menerusi rakaman CCTV, penculikan itu nampak terancang membabitkan lebih 10 lelaki dan 7 kenderaan pada waktu siang.

Keluarga Koh menawarkan habuan RM100,000 untuk mendapatkan maklumat di mana beliau berada.

Malam tadi, lebih 300 orang berkumpul memasang lilin berhampiran Plaza Masalam di Seksyen 9, Shah Alam, untuk menonjolkan kekurangan maklumat polis berhubung penculikan itu, dengan ramai yang bimbang ia mungkin jenayah didorong oleh keagamaan.

No comments:

Post a Comment