Wednesday, March 8, 2017

Duta China ke Kedah tinjau peluang pelaburan

 | March 8, 2017
Huang akan menemui MB Kedah di samping melawat projek Terminal Perikanan.
Cheah-Soon-Hai_huang-huikag_kedah_600
ALOR SETAR: Duta Besar China ke Malaysia, Dr Huang Huikang akan berkunjung ke Kedah selama 2 hari mulai Isnin ini dalam usaha meluaskan lagi prospek pelaburan China di Kedah.

Penasihat Invest Kedah, Datuk Dr Cheah Soon Hai berkata beliau dimaklumkan sendiri mengenai lawatan kerja rasmi tersebut oleh pegawai di kedutaan tersebut selain telah beberapa kali berhubung secara langsung dengan Huang yang mengesahkan kunjungan tersebut.

“Ini satu penghormatan besar kepada negeri Kedah, menunjukkan persahabatan erat antara China dan Malaysia dan dengan kedatangan ini kita boleh dapatkan lebih lagi pelaburan di Kedah terutama di sekitar Kota Setar,” katanya selepas menutup sambutan Hari Wanita Antarabangsa peringkat negeri.

Invest Kedah merupakan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang bertujuan menarik, memudah dan menyokong pelaburan perniagaan di Kedah melalui pelbagai aktiviti seperti khidmat nasihat dan bantuan mengenai potensi pelaburan.
Beliau yang juga pengerusi Gerakan Kedah berkata selain dijadual mengadakan kunjungan hormat kepada Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah, Huang akan turut melawat projek Terminal Perikanan Bersepadu Kedah (KIFT) di Mukim Tebengau, Kuala Kedah yang bernilai hampir RM3 bilion.

KIFT merupakan kerjasama antara kerajaan negeri dan sebuah syarikat China yang berpangkalan di Qingdao iaitu Lu Hai Feng Ltd, yang menempatkan pelbagai kemudahan penangkapan dan pemprosesan ikan tuna.

No comments:

Post a Comment