Wednesday, March 8, 2017

Keadaan tegang, umat Islam diseru adakan solat hajat

Sinar Harian
isu Korea Utara
SHAH ALAM - Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) menyeru umat Islam untuk mengadakan solat hajat rentetan keadaan tegang antara Korea Utara dan Malaysia.
Presidennya, Mohamad Raimi Ab Rahim berkata, tindakan ini perlu bagi mendoakan kesejahteraan 11 rakyat Malaysia yang kini dihalang meninggalkan negara itu.

"Dalam keadaan ini, Abim menyeru seluruh rakyat Malaysia menyatakan solidariti untuk warganegara kita yang masih berada di Korea Utara.
"Marilah kita sama berdoa bagi keselamatan mereka dan melakukan solat hajat sebagai ikhtiar bersama," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata demikian rentetan daripada tindakan kerajaan Korea Utara yang melarang 11 rakyat Malaysia dari meninggalkan Republik berkenaan.

Terdahulu, memetik laporan Reuters, larangan itu atas alasan untuk memastikan keselamatan diplomat dan rakyatnya di Malaysia ekoran krisis diplomatik yang berlaku antara kedua-dua negara selepas pembunuhan abang tiri pemimpin Korea Utara, Kim Jong-nam.

Namun menurut Timbalan Menteri Luar, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican , difahamkan 11 rakyat Malaysia kini berada dalam keadaan
selamat dan tiada sebarang ancaman diterima oleh mereka di sana.
Seramai 11 orang warga Malaysia itu terdiri daripada tiga orang kakitangan kedutaan Malaysia, dua daripadanya adalah individu yang bekerja dengan World Food Programme di bawah Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) manakala selebihnya adalah ahli keluarga mereka.

Dalam pada itu, Mohamad Raimi berkata beliau turut menggesa kerajaan Malaysia supaya mengambil tindakan segera untuk menyelesaikan polemik terkini yang dicetuskan oleh kerajaan Korea Utara.

"Adalah menjadi harapan seluruh rakyat Malaysia agar kerajaan dapat memanfaatkan setiap kemampuan serta saluran  diplomatik untuk menyelesaikan ketegangan diplomatik terkini yang dicetuskan Korea Utara,  tanpa mengkompromikan  kedaulatan serta keselamatan negara," katanya.

No comments:

Post a Comment