Friday, March 3, 2017

Kemungkinan besar Pas ditimpa masalah

Penganalisis politik, Dr Rusdi Omar
Dr Rusdi Omar
KOTA BHARU - Pas perlu mencari tonik penyelamat untuk mengubati segala penyakit mahupun kelemahan yang sering kali dibangkitkan parti lawan kebelakangan ini sebelum betul-betul terlambat.

Penganalisis politik, Dr Rusdi Omar berkata, jika pimpinan yang ada masih dibuai aura Allahyarham Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat tanpa menyusun gerak langkah, kemungkinan besar parti itu ditimpa masalah pada PRU14 nanti.

Menurutnya, bukan mustahil sekiranya Pas tidak berbuat sesuatu dan terus dengan keegoannya, justeru memungkinkan parti itu bakal berputih mata pada pilihan raya umum yang dijangka hangat kali ini.

“Pimpinan Pas terutama di Kelantan mestilah berfikiran waras dan matang dalam apa jua tindakan termasuk ucapan mereka.
“Jangan kita bongkak, sombong dan angkuh dalam setiap tindakan. Nanti masyarakat akan gelak kepada kita,” katanya kepada Sinar Harian.
Beliau mengulas tindakan Pas yang sejak akhir-akhir ini dilihat semakin mendabik dada ketika mana hubungan akrab dengan Umno semakin menyerlah biarpun dinafikan.

Terbaharu, Naib Presiden Pas yang juga Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah dengan yakinnya mengeluarkan kenyataan parti itu bersedia bergerak sendirian dan bertanding di semua kerusi pada PRU14 nanti.

Rusdi berkata, hasrat  untuk kekal mentadbir Kelantan dan tidak mustahil untuk menawan Putrajaya yang dilaung-laungkan Pas juga ibarat bermimpi di siang hari.
“Persoalannya, kajian mana yang menjadi rujukan beliau. Sekiranya berlaku pertandingan tiga penjuru di mana-mana negeri agak sukar dan mungkin mustahil untuk Pas memenangi pilihanraya tersebut.

“Tidak keterlaluan juga, kemungkinan besar negeri Kelantan akan jatuh ke tangan BN, sekiranya Pas ingin bertanding secara bersendirian,” katanya.
Kata Rusdi, pemimpin-pemimpin Pas terutama seperti Mohd amar dan Nasrudin Hassan dilihat seolah-olah bermain dengan pemikiran psikologi dengan mengatakan bahawa  DAP dan Amanah  tidak kuat bahkan mudah untuk ditumbangkan.

“Tetapi realitinya mereka betul-betul rasa tergugat dengan adanya Amanah dan DAP di dalam Pakatan Harapan di samping sokongan dari PKR dan Bersatu.
“Kalau tak ada apa-apa ketakutan terhadap parti DAP dan Amanah mengapa mereka masih menghentam kedua-duanya sekiranya parti  ini tidak ada sokongan. Bukankah pelik nampak cara itu. Sepatutnya mereka tak perlu kedua-dua parti ini,” katanya.

Tidak menafikan sejarah Pas pernah bersendirian namun Rusdi berkata, sejauh mana kehebatan parti itu bila tidak berteman juga perlu direnung-renungkan oleh mereka.

No comments:

Post a Comment