Monday, March 6, 2017

Nazri Aziz tepis Zam: Kamu ahli politik yang gagal

 FMT| March 6, 2017
Menteri menepis ejeken 'Pondan Padang Rengas' dan gembira kerana dapat menimbulkan kemarahan Zainudin Maidin.
nazri-aziz-zamPETALING JAYA: Datuk Seri Nazri Aziz tidak terkesan dengan kenyataan bekas menteri Tan Sri Zainudin Maidin dan menggelarnya seorang ahli politik yang gagal.
“Dia kalah pilihan raya di tangan kawan saya, Datuk Johari Abdul daripada PKR pada 2008. Dia tak wakili sesiapa pun kecuali dirinya sahaja.

“Jadi saya tak kisah langsung sebab dia ahli politik tersingkir,” kata menteri pelancongan dan kebudayaan ketika dihubungi FMT.
Awal hari ini, Zainudin, juga dikenali sebagai Zam, membuat beberapa twit mempertahankan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, yang bertikam lidah dengan Nazri hujung minggu lalu.

Zam menggelar Nazri “pondan Padang Rengas”, dan menambah “Nazri sanggup lawan Mahathir hanya di kawasan sendiri. Masih muda pun pengecut nak keluar kampung lawan orang tua nyanyuk”.

Ahli Parlimen Padang Rengas bagaimanapun seronok dapat menimbulkan kemarahan Zam.
“Memang saya berniat mahu menyakiti hati Mahathir dan penyokongnya. Jelas sekali, Zainuddin sakit hati apabila dia menjawab dan saya sangat gembira sebenarnya.

“Kesimpulannya, saya berada di sini bukan untuk menggembirakan mereka. Saya di sini hanya untuk melakukan kerja saya.”
Aksi balas membalas tercetus apabila Nazri mencabar sama ada Dr Mahathir atau Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Tan Sri Muhyiddin Yassin bertanding di Parlimen Padang Rengas.

Dr Mahathir pula membalas cabaran itu dengan mengajak Nazri bertanding melawannya di Langkawi. Nazri tidak dapat menyahut cabaran itu kerana sistem pengagihan kerusi Umno tidak membolehkan beliau berpindah dari Padang Rengas.

“Mahathir patut lebih tahu. Dia presiden BN untuk tempoh masa yang panjang dan saya tak perlu ajar perkara ini. Dia tahu bagaimana sistem ini berfungsi,” kata Nazri.
Nazri mempunyai sejarah bertelingkah dengan Dr Mahathir sejak bekas perdana menteri lantang mengkritik pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

No comments:

Post a Comment