Tuesday, March 7, 2017

Pandikar mahu Parlimen bertindak ke atas penyerang Khalid

 | March 7, 2017
Jawatankuasa bimbang akan berlaku pendakwaan 2 kali sekiranya Parlimen dan polis bertindak secara bebas ke atas kes itu.
DEWAN RAKYAT
Pandikar-Amin-Mulia-khalidsamadKUALA LUMPUR: Dewan Rakyat dalam keadaan serba salah mengenai siapa yang sepatutnya bertindak ke atas kes membabitkan Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad, yang diserang dalam kawasan Parlimen tahun lepas.
Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia berkata jawatankuasa yang dipengerusikan beliau untuk membincangkan kes itu tidak pasti sama ada Parlimen atau polis yang patut ambil tindakan.

Ini kerana jawatankuasa bimbang akan berlaku pendakwaan 2 kali sekiranya kedua-dua institusi bertindak secara bebas ke atas kes itu.
Pendakwaan 2 kali merupakan tatacara pembelaan yang menghalang seorang tertuduh didakwa 2 kali atas tuduhan yang sama dan fakta yang sama, selepas pembebasan atau pensabitan yang sah.

“Pada pandangan peribadi saya, Parlimen yang perlu bertindak, tidak perlu kita libatkan polis dari luar,” katanya hari ini, selepas memaklumkan Dewan Rakyat bahawa jawatankuasa sedang mengkaji perkara itu.
Kenyataan Pandikar itu menjawab Lim Kit Siang (DAP-Gelang Patah) yang menyoal mengapa Dewan Rakyat belum mengambil sebarang tindakan ke atas serangan yang berlaku pada 24 November tahun lepas.

Dalam kejadian itu, sekumpulan 20 hingga 30 lelaki menyerang Khalid semasa beliau memasuki bangunan Parlimen. Mereka mendakwa diri mereka sebagai ahli Umno Pasir Salak.

Kejadian berlaku selepas Khalid memanggil Ahli Parlimen Pasir Salak Datuk Tajuddin Abdul Rahman “sial”, selepas pemimpin Umno itu berkata Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok dari DAP satu-satunya perempuan dengan perkataan “Kok” di Seputeh.

Menjawab kenyataan Pandikar, Khalid berkata penyerang perlu dikenakan tindakan polis, kerana antara yang tercedera dalam serangan itu adalah anggota polis yang ditempatkan di bangunan Parlimen.

“Apabila seorang penjawat awam dicederakan orang ramai, tindakan perlu diambil oleh pihak berkuasa yang relevan, dalam kes ini polis, walaupun kejadian itu berlaku dalam kawasan Parlimen,” kata Khalid.

Beliau bagaimanapun berkata pergaduhan mulut antara dirinya dan Tajuddin patut disiasat Parlimen.
“Sekiranya salah seorang kami didapati bersalah, maka Dewan Rakyat yang sepatutnya ambil tindakan,” kata Khalid kepada Dewan Rakyat.
FMT

No comments:

Post a Comment