KUALA LUMPUR - Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed
Nazri Aziz menyambut baik pembukaan semula panggung wayang di Terengganu
selepas 22 tahun ia ditutup.
Menurutnya, pembukaan panggung wayang itu sesuatu yang baik setelah beberapa lama hiburan awam di negeri itu dinafikan.
"Ini masanya ia dibuka selepas berapa lama. Panggung wayang adalah hiburan yang bersesuaian untuk seisi keluarga.
"Sekurang-kurangnya ada juga pilihan untuk seisi keluarga meluangkan
masa bersama. Selain itu juga saya lihat ia usaha yang baik untuk
ekonomi," katanya selepas merasmikan Penubuhan dan Pelancaran Logo Rasmi
Gabungan Pemandu Pemandu Ahli Parlimen Malaysia) GPMP, hari ini.
Sabtu lalu, enam daripada 11 dewan panggung LFS dibuka secara rasminya
dengan sebuah dewan panggung besar yang memuatkan 250 penonton, empat
dewan panggung kecil dilengkapi 110 kerusi dan sebuah dewan tayangan
perdana untuk 88 penonton.
Ia turut dilengkapi kamera litar tertutup (CCTV) di mana gerak-geri
penonton boleh disaksikan orang ramai melalui siaran langsung di
televisyen lobi pawagam itu.
Mengulas lebih lanjut mengenai GPMP, Nazri berkata, penubuhan persatuan
itu juga adalah sebagai satu usaha dalam memastikan kebajikan
ahli-ahlinya terjaga.
"Dengan wujudnya persatuan ini, maka kebajikan pemandu-pemandu yang ada
akan lebih terjaga. Boleh dikatakan mereka adalah orang penting buat
ahli Parlimen dalam menjalankan tugasan.
"Ini juga sebagai satu penghargaan kepada mereka yang selama ini
menjaga keselamatan dan membantu ahli Parlimen menjalankan tugas,"
katanya.
Sinar Harian
No comments:
Post a Comment