Friday, March 3, 2017

Pertemuan Asri-Khairuddin tak bincang isu debat

 FMT| March 3, 2017
Ketua penerangan Dewan Ulama PAS berkata tidak perlu provokasi dirinya dan mufti Perlis kerana mereka mahu menyelesaikan isu perbezaan pendapat menerusi perbincangan secara harmoni.
maza-khairuddinPETALING JAYA: Pertemuan 4 mata antara Ketua Penerangan Dewan Ulama PAS Datuk Khairuddin Aman Razali dan Mufti Perlis Datuk Asri Zainul Abidin hari ini tidak membincangkan mengenai usaha untuk kedua-dua pemimpin itu berdebat.

Khairuddin berkata pertemuan itu hanya atas dasar persahabatan antaranya dengan Asri dan usaha mereka untuk mencapai satu titik persamaan dalam memperkasakan dakwah Islam secara bersama.

“Itu pertemuan persahabatan antara saya dengan Dr Asri. Kita bincang pelbagai isu kalau boleh. Kita sepakat bersama. Perbincangan harmoni.
“Isu debat dan wacana ilmu itu soal perbezaan pendapat dan itu tidak rosakkan hubungan persahabatan saya (dengan Asri),” katanya kepada FMT.
Pertemuan 2 pemimpin itu berlangsung selama 2 jam di rumah Asri di Kangar.

Perang mulut antara mufti Perlis itu dengan pimpinan PAS bermula selepas kenyataannya pada satu forum bulan lalu yang mengkritik penyokong rang undang-undang untuk meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965, bagi membenarkan hakim syarie menjatuhkan hukuman lebih berat ke atas pesalah Islam.

Khairuddin turut meminta mana-mana pihak untuk tidak melakukan provokasi terhadapnya dan Asri.
Katanya, usaha untuk berbincang secara bersama mengenai pandangan yang sama mahupun yang berbeza dapat dijalankan secara harmoni.
“Kita hanya berbincang isu bersama yang disepakati. Yang penting kita saling memahami pandangan masing-masing.

“Debat atau wacana terbuka itu tidak perlu dibangkitkan. Yang penting kita masing-masing sudah beri pandangan. Pandangan itu sepatutnya dibuat secara harmoni supaya boleh kita selesai secara harmoni,” katanya.

No comments:

Post a Comment