Wednesday, March 8, 2017

Tiga terbunuh, 66 cedera serangan di hospital tentera

Sinar Harian
Tiga terbunuh, 66 cedera serangan di hospital tentera
Polis tutup kawasan berdekatan hospital. - Foto Reuters
KABUL - AFGHANISTAN. Serangan pengganas di sebuah hospital tentera di Kabul pada Rabu menyebabkan sekurang-kurangnya tiga terbunuh dan 66 lagi cedera manakala tiga penyerang maut, lapor media tempatan menurut agensi berita China Xinhua. 

Seorang pengebom bunuh diri meletupkan dirinya di bahagian belakang Hospital Sardar Mohammad Daud Khan di daerah diplomatik Wazir Akbar Khan. 
  
Menurut sumber pasukan keselamatan, letupan itu membolehkan empat penyerang yang bersenjata api dan bom tangan memasuki bangunan utama serta melepaskan tembakan rambang kepada pesakit dan petugas hospital.
"Tiga terbunuh dan 54 mangsa cedera dihantar ke hospital berdekatan Wazir Akbar Khan. Jumlah mangsa cedera mungkin bertambah," kata jurucakap Kementerian Kesihatan Awam Ismahil Kawosi kepada media tempatan Tolo News.  

Sementara 12 lagi mangsa dihantar ke Hospital Emergency Kabul, katanya.
Seramai lima pengganas terbabit dalam serangan itu, seorang meletupkan dirinya manakala dua lagi ditembak mati oleh anggota keselamatan, menurut maklumat awal daripada sumber keselamatan.

Hospital yang mempunyai 400 buah katil merupakan hospital tentera terbesar di negara itu terletak di daerah diplomatik berdekatan kedutaan Amerika Syarikat dan menjadi sasaran utama pengganas.
Setakat ini, tiada pihak mengaku bertanggungjawab terhadap serangan itu dan kumpulan militan Taliban menafikan penglibatan mereka. - Bernama

No comments:

Post a Comment