Wednesday, April 12, 2017

Adakah Peter Chong seorang diri di sempadan, soal bekas majikan

 | April 12, 2017
Ahli Parlimen Subang itu berkata, polis sepatutnya menjelaskan komen Khalid Abu Bakar yang Peter Chong tidak diculik, sebaliknya beliau dilihat merentasi sempadan ke Thailand.
sivarasa-1PETALING JAYA: Wakil rakyat PKR, R Sivarasa mahu polis memberi lebih banyak maklumat mengenai aktivis Peter Chong yang dilaporkan menaiki bas merentasi sempadan Malaysia ke Thailand.

Ahli Parlimen Subang itu berkata, polis perlu mendedahkan sama ada Chong bersendirian atau beliau dilihat bersama orang lain dalam bas berkenaan.
“Mereka juga perlu mengesan kedudukannya dan di mana beliau beli tiket bas itu. Sama ada beiau membawa beg atau bagasi, dan jika beliau bersendirian atau dengan orang lain.

“Ia akan membantu kita memahami apa yang berlaku,” katanya kepada FMT ketika diminta mengulas kenyataan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar pagi tadi yang Chong berada di Thailand.
Semalam, Sivarasa berkata, beliau dan ahli Parlimen lain sudah dimaklumkan Messenger Facebook Chong masih aktif pada hujung minggu lalu sehingga pagi semalam.

Katanya, salah seorang rakan Chong berjaya menghubungi beliau melalui Telefon Facebook, walaupun panggilan itu tidak dijawab.
Pagi tadi, Khalid berkata, polis tidak pasti mengapa lelaki berusia 54 tahun itu berada di Thailand selepas mendapat gambar Chong menaiki bas di pintu sempadan Bukit Kayu Hitam dan sehingga kini tiada rekod Chong kembali semula ke Malaysia.

Beliau juga menolak dakwaan bekas ahli Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) itu diculik, selain mempersoalkan jika Chong berhutang dan polis tidak akan bertolak ansur sekiranya mendapati beliau sengaja menimbulkan kegusaran orang ramai.

Chong yang merupakan bekas pembantu Sivarasa, kali terakhir dilihat pada 5 April lalu, ketika meninggalkan rumahnya di Persiaran Raja Chulan, Kuala Lumpur.
Pada 31 Mac lalu, Chong menerusi catatan Facebooknya mendakwa didekati individu tidak dikenali yang memberi peringatan supaya “berhati-hati” di sebalik kes orang hilang.

Anak Chong, Darryl membuat laporan polis mengenai kehilangan bapanya pada 8 April lalu selepas cubaan menghubungi beliau gagal.
Susulan itu, polis Kuala Lumpur menubuhkan pasukan petugas untuk menyiasat kehilangan Chong yang membawa kepada banyak spekulasi mengenai lokasinya.
Bagaimanapun, Khalid berkata, berdasarkan gambar Chong, lelaki itu kelihatan sihat.

Katanya, kira-kira 13,290 orang dilaporkan hilang antara 2011 hingga 2015. Daripada jumlah itu, polis menyelesaikan 8,117 kes.
FMT

No comments:

Post a Comment