Tuesday, April 25, 2017

Hindu Sangam‎ terima maaf Asri walaupun tiada kaitan kritikan

 | April 24, 2017
Hindu Sangam berkata pihaknya menerima permohonan maaf Asri tetapi beliau tiada sebab untuk mengaitkan apa yang berlaku di India dengan Malaysia
rs-mohan-3
PETALING JAYA: Badan perwakilan penganut Hindu menerima permohonan maaf mufti Perlis tetapi percaya kenyataan Datuk Mohd Asri Zainul Abidin itu tiada kena mengena dengan kritikan mereka.

Sebelum ini, Asri melalui Facebook memohon maaf kepada orang Hindu yang “tersalah faham” puisinya yang menurut beliau tidak menyasarkan penganut Hindu secara umum tetapi kerajaan India pimpinan Perdana Menteri Narenda Modi.
Tetapi Presiden Malaysia Hindu Sangam R S Mohan memberitahu FMT perkara itu tiada kena mengena dengan kritikan mereka.

“Kami terima permohonan maaf Asri tetapi ia tiada kena mengena dengan kritikan kami. Kita hidup aman damai di Malaysia, kami sayang dan memahami agama masing-masing.
“Tetapi beliau tiada sebab untuk mengaitkan apa yang berlaku di India dengan Malaysia, atau mengaitkan Zakir Naik kepada agama kami,” katanya, menyentuh penceramah kontroversi itu.

Mengikut logik Asri, Mohan berkata penganut Hindu juga boleh menonjolkan tindakan ganas yang dilakukan oleh sesetengah orang Islam terhadap penganut Hindu di India.

“Tetapi kita tidak melakukannya kerana kita 2 negara berbeza. Di samping itu, Zakir dalam ucapannya memperkecilkan Hindu dan agama lain.
“Jadi sebagai seorang mufti, Asri sepatutnya faham kita tidak mahu Zakir ke mari kerana ia boleh mengganggu perpaduan antara rakyat berbilang kaum dan agama di Malaysia,” katanya, mengingatkan Zakir dilarang dari memasuki beberapa negara.

Mohan turut mempersoalkan mengapa Asri melabel Barisan Bertindak Hak Asasi Hindu (Hindraf) sebagai “pelampau” sedangkan gerakan itu cuma menonjolkan apa yang sedang berlaku di negara ini.

Asri dalam permohonan maafnya sempat menyasarkan Hindraf, melabel gerakan itu sebagai “pertubuhan pelampau” yang mencetuskan ketegangan antara penganut Hindu dan Islam.
“Puisi Jumaat” Asri baru-baru ini mencetuskan kontroversi terutamanya dalam kalangan penganut Hindu.

Puisi itu, antara lain, menyelar apa yang digelarnya golongan “mempertuhankan lembu” dan mengamalkan sistem kasta, kerana menentang seorang “pendakwah”.

Asri tidak menamakan pendakwah itu, tetapi puisi itu terbit ketika kumpulan Hindu, termasuk Hindraf, membantah keputusan kerajaan membenarkan Zakir berada di sini, yang dikehendaki pihak berkuasa India untuk disoal siasat mengenai dakwaan pengubahan wang dan keganasan.

Asri menurunkan “puisi” itu daripada laman Facebook semalam susulan kecaman dan laporan polis terhadap mufti itu, yang dilihat mempertahankan Zakir.
Asri bagaimanapun mempertahankan “puisi” itu, mengatakan ia tiada kena mengena dengan penganut Hindu tempatan, tetapi menyasarkan tindakan kerajaan Modi, yang beliau dakwa membiarkan saban hari orang Islam dibunuh dengan kejam hanya kerana memakan daging lembu.

Lembu dianggap suci oleh penganut Hindu, walaupun terdapat kekeliruan sesetengah pihak yang mengatakan binatang itu dianggap tuhan oleh agama Hindu.
FMT 

No comments:

Post a Comment