Friday, April 14, 2017

Isu 1MDB: Ezam fail saman terhadap Najib

Isu 1MDB: Ezam fail saman terhadap Najib
Ezam (tengah) ketika ditemui pemberita di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, hari ini. - Foto Sinar Online 
 
KUALA LUMPUR - Presiden Parti Bebas Rasuah (PBR), Datuk Mohd Ezam Mohd Nor memfailkan saman terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, 13 Ahli Lembaga Pengarah 1Malaysia Developement Berhad (1MDB), syarikat 1MDB dan kerajaan Malaysia supaya menanggung kerugian dengan membayar sejumlah AS$3.657 bilion kepada syarikat 1MDB.
Ezam selaku plaintif memfailkan saman itu di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur,  hari ini, melalui peguamnya, Tetuan Farez Jinnah.

Selain Najib Razak yang dinamakan sebagai defendan pertama,  Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah, Datuk Kamal Mohd Ali, Datuk Norazman Ayob, Tan Sri Datuk Seri Che Lodin Wok Kamaruddin, Tan Sri Datuk Paduka Ismee Ismail, Tan Sri Datuk Ong Gim Huat dan Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi dinamakan  sebagai defendan kedua hingga kelapan.

Sementara itu, Ashvin Jethanand Valiram, K Arul Kanda, Mohd Hazem Abd Rahman, Datuk Mohd Bakke Salleh, Tan Sri Azlan Mohd Zainol dan Tengku Datuk Rahimah Puteri Al-Marhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah dinamakan sebagai defendan ke sembilan hingga ke-14, manakala syarikat 1MDB dan kerajaan Malaysia adalah defendan ke-15 dan 16.

Melalui pernyataan tuntutan, Ezam mendakwa syarikat 1MDB telah meminjam USD 6.5 bilion dengan bantuan satu syarikat yang dikenali sebagai Goldman Sach International Ltd dan sewajarnya jumlah itu dimasukkan ke dalam akaun 1MDB.

Bagaimanapun, defendan kelima hingga ke-14 bertindak bersama menyebabkan atau memperolehi sejumlah AS$3.657 bilion untuk dibayar kepada pihak yang tidak berhak kepada jumlah tersebut.

Sekaligus, menyebabkan kerugian secara salah kepada defendan ke-15 iaitu syarikat 1MDB.
Sehubungan itu, Ezam menuntut satu perintah mengarahkan kesemua defendan untuk secara bersama dan berasingan menanggung rugi defendan ke-15 dengan bayaran dengan jumlah disebutkan.

Selain itu, Ezam turut menuntut faedah ke atas kemungkiran sengaja ada kadar 4 peratus atas baki bulanan ke atas jumlah penghakiman dari tarikh yang diperintahkan oleh mahkamah sehingga bayaran penuh serta kos dan relif lain yang sesuai.
 

No comments:

Post a Comment