Thursday, April 13, 2017

Kami tak terima sesen pun, kata PAS

 | April 13, 2017
Naib Presiden Idris Ahmad mendakwa Nasharudin "sudah keluar" parti dan tidak lagi aktif dengan PAS.
idris-ahmad_Nasharudin-Mat-Isa_pas_600
PETALING JAYA: PAS menjarakkan diri daripada bekas timbalan presiden mereka, Datuk Nasharudin Mat Isa selepas “whistleblower terkenal” Ahli Parlimen Pandan Rafizi Ramli menuduh beliau menerima dana berkait 1MDB.

“Dia sudah keluar PAS dan tidak aktif lagi dengan PAS, malah pejabat PAS juga dia tidak pernah datang,” kata Naib Presiden Idris Ahmad ketika dihubungi FMT.
Beliau menambah Nasharudin tidak memegang sebarang jawatan sejak tewas mempertahankan kerusi timbalan presiden di tangan Mohamad Sabu dalam pemilihan parti 2011.

“Kenapa nak kaitkan dengan PAS kerana kami tak dapat apa-apa dan kita juga terkejut,” katanya lagi. “Kita pun ‘sengkek’ (tiada wang) hingga bil elektrik hampir dipotong, kalau ada duit kita tak jadi begitu.”

Rafizi dalam akuan bersumpah hari ini mendakwa Nasharudin menerima dana yang didakwa daripada anak syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Rafizi mendakwa dana tersebut pada awalnya disalurkan ke akaun peribadi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, dan kemudian, sejumlah wang disalurkan kepada Nasharudin.

Menurut Rafizi, maklumat ini diberitahu kepadanya pada 28 Januari tahun ini, oleh seorang bekas pegawai kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang pernah mengetuai siasatan ke atas 1MDB dan dakwaan pembabitan Najib dalam skandal itu.
Menurut Rafizi, perkara sama diketahui Ketua Penerangan Dewan Ulama PAS Khairuddin Aman Razali.

“Saya kena semak dulu kenyataan Rafizi baru boleh respon,” kata Khairuddin kepada FMT.
Ketika ditanya mengenai status semasa keahlian Nasharudin, yang kini mengetuai idea cetusan Najib, Gerakan Kesederhanaan Global (GMM), Idris berkata:
“Dia masih lagi ahli PAS, kita tidak pecat tapi kalau ia melibatkan kesalahan undang-undang, SPRM dan Bank Negara, pihak berwajib boleh mulakan siasatan,” katanya.

Najib berulangkali nafi mengambil dana awam, dinamanya dibersihkan daripada sebarang salahlaku oleh Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali.
Sehingga kini FMT masih belum berjaya mendapatkan respon dari Nasharudin walaupun teks kiriman mesej sudah dihantar.
FMT

No comments:

Post a Comment