Datuk Seri Najib Tun Razak berkata sudah tiba masanya aktivis media
sosial pro kerajaan Barisan Nasional (BN) untuk menyerang musuh-musuh di
alam maya dalam usaha mempertahankan kerajaan dan membantu mengekalkan
BN di Putrajaya.
Perdana Menteri yang berkeyakinan dengan peranan yang dimainkan oleh
para aktivis itu untuk kerajaan BN, mahu mereka juga melihat diri
sendiri sebagai pejuang nasionalis dalam perjuangan di medan perang yang
baharu.
"Kita sudah lama berada dalam defensive mode (mod bertahan).
Cukuplah. Kini tibalah masa untuk menyerang!" katanya menerusi blog
najibrazak.com bertajuk Himpunan Aktivitis Media Sosial 2017.
Najib berkata medan perang pada hari ini, misalnya dalam pilihan
raya, sudah berubah dan tidak dalam bentuk fizikal atau face to face
(bersemuka), tetapi alam maya atau ruang siber adalah medan perang yang
baharu.
Beliau memberi contoh dalam dua pilihan raya umum yang lalu apabila
kerajaan BN terdedah kepada serangan tanpa ada bala tentera yang boleh
menangkis serangan itu, namun hari ini sudah ramai aktivis media sosial
sebagai panglima alam maya yang setia dan tetap percaya dengan
perjuangan dan dasar kerajaan BN.
Perdana Menteri bagaimanapun mengingatkan para aktivis media sosial
itu supaya berpegang kepada tiga prinsip asas untuk perjuangan bersama.
Pertama ialah mereka perlu mengelakkan pertelagahan sesama sendiri
dan komited kepada perjuangan bersama untuk menegakkan kerajaan BN dan
yang keduanya ialah memperluaskan rangkaian alam maya agar mesej yang
disampaikan kepada rakyat dapat disebarluaskan dengan lebih berkesan.
Prinsip ketiga ialah mereka perlu belajar daripada apa yang berlaku dalam pilihan raya umum terdahulu.
"Kita mesti tangkas dalam respons dan tidak terperangkap, sepertimana
yang berlaku pada hari mengundi dalam PRU ke-13 di mana pembangkang
telah menyebarkan berita palsu kononnya kita membawa masuk pengundi
Bangladesh untuk mengundi, bahawa kononnya kita mewujudkan keadaan
blackout di tempat tertentu untuk memanipulasi undi.
"Cerita ini semua langsung tidak masuk akal, tetapi ramai terpedaya
dengan berita ini yang sedikit sebanyak membawa kesan kepada pengundi
dan pilihan raya itu sendiri," katanya.
Najib menjangka pembangkang akan kembali menggunakan taktik kotor
serupa dengan melontarkan sesuatu yang tidak terfikir untuk membuatkan
orang marah dan benci pada kerajaan BN kerana mereka berpegang kepada
satu prinsip sahaja iaitu "If you cannot convince them, confuse them"
(jika anda tidak dapat meyakinkan mereka, kelirukan mereka).
Taktik kotor pembangkang, katanya amat jelas iaitu jika mereka tidak
dapat meyakinkan pengundi untuk mempercayai janji-janji kosong atau
kata-kata manis mereka, modus operandi mereka adalah untuk mengelirukan
rakyat agar menimbulkan ketidakpercayaan serta kemarahan terhadap
kerajaan BN.
Perdana Menteri menyifatkan aktivis media sosial pro kerajaan BN
sebagai panglima di alam maya yang setia mempertahankan dasar kerajaan
BN, mempertahankan maruah parti dan membidas segala pembohongan yang
giat dipermainkan oleh pembangkang sejak sekian lama.
"Insya-Allah, dengan semangat juang dan kesepaduan sesama kita, kita
mampu peroleh kejayaan besar dalam PRU 14, dan Putrajaya akan kekal
milik Barisan Nasional!" katanya. -Bernama
Saya belajar kaedah "If you cannot convince them, confuse them" dari aktivis pro UMNO banyak tahun lalu.
ReplyDelete