Wednesday, April 5, 2017

Malu ada wakil rakyat macam Shabudin, kata Guan Eng

 | April 5, 2017
Pulau Pinang melabelkan ahli Parlimen Tasek Gelugor sebagai “raksasa” apabila mencadangkan mangsa rogol patut berkahwin dengan perogolnya.
shahbudinGEORGE TOWN: Pulau Pinang malu untuk mempunyai ahli Parlimen “raksasa” yang membuat kenyataan mengenai mangsa rogol, kata Lim Guan Eng hari ini, susulan Shabudin Yahya di Parlimen semalam mencadangkan mangsa mengahwini perogolnya.

Ketua menteri Pulau Pinang itu berkata ahli majlis eksekutif negeri hari ini melahirkan “kebimbangan dan marah” terhadap kenyataan ahli Parlimen Tasek Gelugor, dan mendesak BN memecat atau memaksanya meletak jawatan.

Lim berkata apa yang Shabudin cakap itu sangat menyinggung dan tidak menghormati semua wanita.
“Ini menunjukkan akhlak buruk dan pemikiran yang sakit. Jika BN ada moral baik, kita patut pecat dia. Saya tidak boleh bayangkan manusia jenis apa yang boleh buat begitu.

“Anda tidak menggalakkan rogol dengan buat begini? Jika itu formulanya, bagaimana jika gadis itu menjadi mangsa rogol secara berkumpulan? Anda nak dia kahwin semua sekali perogol itu?
“Senang saja dia cakap kerana bukan anak perempuan atau adik-beradik dia. Orang Pulau Pinang tidak mahu raksasa seperti dia jadi wakil rakyat, kita tidak ada belas kasihan dengan orang seperti ini,” katanya pada sidang media di Komtar hari ini.

Shabudin di Dewan Rakyat semalam berkata tidak ada salahnya jika mangsa berkahwin dengan perogolnya dan lebih baik untuk gadis itu kerana kalau tidak masa depannya gelap.
Ramai pihak yang marah dengan komen Shabudin, malah Pengarah Komunikasi Strategik BN Datuk Abdul Rahman Dahlan berkata “ia tidak boleh diterima”.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri Chong Eng juga mengutuk komen Shabudin, dan berkata ketua pembangkang Jahara Hamid juga patut berbuat demikian.
Chong berkata Jahar perlu mengutuk kenyataan itu kerana Adun Umno paling senior di Pulau Pinang dan seorang wanita, beliau perlu bersuara menentang kenyataan Shabudin.

“Saya mahu beliau menyatakan pendirian mengenai isu ini. Saya harap beliau akan menyertai kami untuk mendesak raksasa itu keluar dari Umno,” kata Chong.
Sementara itu, Timbalan Ketua Menteri 1 Mohd Rashid Hasnon juga berkata kenyataan Shabudin itu terkeluar daripada norma Islam.

“Amat kesal apabila jalan penyelesaian masalah rogol dan kahwin seperti itu dibuat oleh seseorang seperti Shabudin. Apa yang dicadangkan itu hanya untuk menganiaya mangsa rogol,” kata Rashid.
FMT

No comments:

Post a Comment