16/4/17
Anggota parlimen pembangkang membidas Menteri di Jabatan Perdana
Menteri, Datuk Paul Low kerana memberi jawapan satu perenggan berhubung
soalan parlimen mengenai siasatan terhadap SRC International Sdn Bhd.
Anggota Parlimen Segambut Lim Lip Eng, berkata ini kerana siasatan
kes membabitkan bekas anak syarikat 1MDB itu sedang dijalankan di
seluruh dunia.
"Ada beberapa negara yang sedang memantau dan telah mengambil langkah untuk mendakwa mereka yang terlibat dalam skandal 1MDB.
"SRC International adalah bekas anak syarikat 1MDB, yang didakwa
telah memindahkan RM42 juta ke dalam akaun Perdana Menteri Datuk Seri
Najib Razak.
"Namun, Paul Low, hanya memberikan jawapan satu perenggan mengenai syarikat itu di Parlimen.
"Apakah fungsi sebenar Low dan tugasnya dalam kabinet, selain memberi
jawapan satu perenggan mengenai 'saudara jauh' beliau Jho Low dan
bosnya, Najib?" Soal Lim dalam satu kenyataan hari ini.
Minggu lalu, Low dalam jawapan bertulis kepada Lim Kit Siang
(DAP-Gelang Patah) berkata Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)
telah menyiapkan siasatan ke atas SRC, tanpa memberikan sebarang
penjelasan atau butiran lanjut mengenai hasil siasatan.
Lim bertanya sama ada SPRM masih cuba mengesan tiga individu -
Pengarah Urusan SRC International Sdn Bhd, Nik Faisal Ariff Kamil,
Pengarah SRC International Sdn bhd, Datuk Suboh Md Yassin dan ahli
perniagaan Jho Low - yang dikaitkan dengan siasatan SRC sejak Ogos 2015.
"Bolehkah Paul Low memberi beberapa penjelasan kepada rakyat - yang
membayarnya gaji lima angka setiap bulan dan memberikan kepadanya
seorang pemandu - apa kejayaan telah dicapai untuk negara ini sejak
beliau dilantik dalam kabinet Najib pada 2013 dan ditugaskan untuk
hal-hal pentadbiran dan integriti?
"Jika dia tidak boleh atau enggan berbuat demikian, apa integriti yang 'menteri integriti' ini ada?" Soal Lim.
No comments:
Post a Comment