Friday, April 7, 2017

Pakatan bahas usul Hadi dalam parlimen ‘olok-olok’.

 FMT| April 6, 2017
Sidang akan dianjurkan minggu depan dan disiarkan secara langsung melalui Facebook
rafizi
KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) akan mengadakan sidang Parlimen “olok-olok” minggu depan agar usul Hadi akhirnya dapat dibahaskan, selepas ia ditangguhkan buat kali ke-3 hari ini.

Rafizi Ramli (PKR-Pandan) mempertikaikan tindakan Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia kerana hanya membenarkan penerangan daripada PAS.
“Mana ada di dunia ini, Dewan Rakyat hanya mendengar sebelah pihak saja, seolah-olah kami tidak ada hak berbahas,” katanya pada sidang media di Parlimen hari ini.
“Ada cadangan daripada ahli Parlimen supaya diadakan ‘mock’ Parlimen kita sendiri. Kita buat sepertimana di Dewan Rakyat, kita berdebat hanya sebelah pihak.”

Pandikar hari ini menangguhkan mesyuarat pertama Dewan Rakyat sejurus selepas Datuk Takiyuddin Hassan (PAS-Kota Bharu) menerangkan rang undang-undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) yang dibentangkan Datuk Seri Abdul Hadi Awang (PAS-Marang) hari ini.

Keputusan itu mencetuskan gempar dalam kalangan ahli Parlimen yang mahu mengambil bahagian membahaskan usul kontroversi itu.
Usul tersebut tidak mendapat sokongan parti komponen BN dan DAP, sementara PKR dan Amanah merasa sangsi. PAS yakin Umno bersama mereka menyokong usul tersebut.

Rafizi berkata Parlimen “olok-olok” akan diadakan minggu depan di lokasi yang akan diumumkan kelak.
“Saya akan pastikan kumpulan saya akan buat ‘mock’ Parlimen walaupun tidak semua ahli Parlimen akan datang. Sekurang-kurangnya 9 ahli Parlimen berpeluang berhujah,” katanya.

Khalid Samad (Amanah-Shah Alam) kemudian mencelah dengan berkata Datuk Johari Abdul (PKR-Sungai Petani) akan diangkat menjadi speaker Parlimen “olok-olok”.
“Kita akan siar secara langsung di Facebook ke seluruh negara dan setiap ahli Parlimen mempunyai masa membentang hujah mereka,” kata Khalid.
Mengulas penangguhan usul Hadi, Rafizi mendedahkan beliau sudah menyediakan teks ucapan tersendiri yang akan mempersoalkan kaitan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dengan PAS.

“Saya akan tanya adakah dia yakin wang dari 1MBD berada di tangan tokoh yang rapat dengan PAS. Saya ingin bertanya di Dewan Rakyat tapi tidak berkesempatan,” katanya.

Rafizi berkata isu itu akan dibentangkan pada sidang Parlimen “olok-olok” itu nanti.
“Kita kena bawa isu ini terus kepada rakyat untuk reaksi daripada PAS memandangkan pilihan raya umum makin hampir. Saya yakin mereka tahu siapa yang saya maksudkan,” katanya.

Rafizi mendakwa mempunyai bukti, tetapi enggan mendedahkan sejauh mana hubungan tokoh yang dikatakan itu dengan PAS dan berapa jumlah wang yang diperolehi.

No comments:

Post a Comment