Monday, April 17, 2017

Parti Ezam milik siapa?

Kontroversi melanda Parti Bebas Rasuah (PBR) pimpinan Ezam Mohd Nor selepas kepimpinan lamanya mendakwa parti mereka telah dirampas oleh bekas senator itu.

Utusan Malaysia melaporkan Datuk G Kumar, “presiden” Parti Generasi Baru – yang ditukar nama oleh Ezam – mendakwa tiada mesyuarat, tiada notis dan tiada persetujuan 300 anggotanya dicapai untuk perubahan dilakukan Ezam.
Justeru, kata Kumar, pihaknya telah membuat laporan polis dan aduan kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) kerana didakwa berlaku perlanggaran terhadap perlembagaan parti dan undang-undang agensi itu.

“Pengasas PBR, S Gobi Krishnan yang telah digantung keahliannya sebagai setiausaha agung Parti Generasi Baru pada bulan lalu telah melanggar perlembagaan parti dengan melantik jawatankuasa baharu tanpa memberi notis panggilan mesyuarat kepada presiden.

“ROS perlu siasat sedalam-dalamnya bagaimana perkara ini berlaku,” beliau dipetik sebagai berkata dalam sidang media di Kuala Lumpur hari ini.

“Penukaran nama kepada PBR tidak mendapat mandat daripada ROS sendiri sedangkan mereka telah menyalahgunakan parti ini untuk menghentam kerajaan dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.”

'Dakwaan didalangi pemerintah'
Sementara itu, Ezam dalam kenyataan balasnya menegaskan setiap keputusan dan tindakan yang mereka lakukan berdasarkan saluran undang-undang bawah Akta Pendaftar Pertubuhan.
Katanya, sebagai pejuang antirasuah, mereka tidak akan sekali-kali melanggar proses yang bercanggah dengan undang-undang atau tidak bermoral.

“Kami punya alasan untuk mempercayai bahawa dakwaan itu berniat jahat dan didalangi pemerintah yang rasuah dan tidak selesa kepada sebuah perjuangan khusus melawan rasuah di negara ini.
“Kami serahkan kepada Pendaftar Pertubuhan untuk membuat keputusan akhir mengenai dakwaan-dakwaan tersebut dan berjanji akan akur kepada apa sahaja keputusan Pendaftar Pertubuhan,” katanya.

Ezam juga berkata perjuangan akan tetap diteruskan sama ada bersama parti generasi baru atau wadah lain.
Katanya, yang penting fokus mereka “untuk selamatkan Malaysia dari kehancuran pemimpin rasuah”.
Malaysiakini 17/4/17

No comments:

Post a Comment