Sunday, April 30, 2017

PAS Johor dakwa PPBM wujud untuk selamatkan Umno

FMT | April 30, 2017
Perwakilan PAS Johor mendakwa kehadiran PPBM memecahkan undi pembangkang dan menyukarkan PAS menarik undi orang Islam.
Umno-pbbmALOR SETAR: Perwakilan PAS Johor hari ini mendakwa Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) wujud untuk memecahkan undi pembangkang supaya Umno-Barisan Nasional kekal berkuasa pada pilihan raya umum akan datang.
Pembahas Nazari Mokhtar memberi amaran kepada ahli parti supaya berhati-hati dengan parti Tun Dr Mahathir Mohamad kerana kehadiran mereka menyukarkan PAS menarik undi orang Islam.

“Kita suka atau tidak suka Dr Mahathir, matlamat beliau hanyalah untuk menyelamatkan kerajaan Umno dan BN. Kalau kita tidak berhati-hati dengan ‘Mr. U-turn’ ini maka kita akan terperangkap,” katanya.
“Tuan-tuan kena ingat pengundi Muslim akan berpecah kepada beberapa bahagian: Paling besar kepada Umno, sebahagianya kepada PPBM, PAS, PKR dan Amanah. Kalau kita tidak berhati-hati dengan PPBM maka kita tidak akan dapat undi Melayu.”

Beliau juga menyifatkan keputusan pimpinan PAS untuk tidak bekerjasama dengan PPBM sebagai tindakan “bijak” dan “terpuji”.
“Ini waktu paling sesuai untuk kita menasihatkan semua rakan kita yang tidak suka kepada Umno (supaya) jangan pergi kepada PPBM. Kalau kita marah kepada Umno sekalipun kita pergi kepada PAS.”

Nazari berkata demikian ketika gilirannya membahaskan ucaptama Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang di mesyuarat agung tahunan PAS ke-63 di Kompleks PAS Kedah di sini hari ini.
Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang di muktamar semalam berkata partinya tidak mahu bekerjasama dengan PPBM yang tiada “imam” dan ketentuan arah.

Dr Mahathir sebelum ini pernah memberikan tempoh kepada PAS mengenai kerjasama pilihan raya dengan pakatan pembangkang, tetapi Hadi bertegas tidak mahu bekerjasama dengan parti yang mempunyai hubungan dengan DAP dan Amanah.

PAS dan DAP memutuskan hubungan antara lain mengenai pelaksanaan undang-undang Islam. Kekalahan beberapa pemimpin PAS dalam pemilihan 2015 membawa kepada penubuhan Amanah, yang membentuk Pakatan Harapan bersama PKR, DAP dan PPBM.

PAS enggan mengadakan kerjasama pilihan raya dengan Pakatan Harapan, dan berkata ia akan menyertai pilihan raya akan datang sebagai “blok ketiga”. PAS juga dilaporkan mahu meletakkan calon di kerusi yang diduduki parti pembangkang lain, memaksakan pertandingan 3 penjuru yang dipercayai akan memihak kepada Barisan Nasional.
Meneruskan ucapannya, Nazari membidas dakwaan PAS menerima “dedak” – istilah yang dikaitkan dengan sogokan.

“Dia kata kita yang makan dedak padahal mereka lagi kenyang. Kita ni tak tahu apa-apa, dedak pun tidak pernah tengok,” katanya.
Pada 27 April lepas, FMT melaporkan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang akhirnya memfailkan saman terhadap editor Sarawak Report, Clare Rewcastle Brown.

Ia susulan laporan Sarawak Report 6 Ogos tahun lalu mendakwa RM90 juta dimasukkan ke akaun pemimpin atasan PAS sebagai usaha Datuk Seri Najib Razak “menarik” kepimpinan parti Islam itu menyokong Barisan Nasional dan Umno.
Saman difailkan di Mahkamah Tinggi London 21 April lalu.

No comments:

Post a Comment