Monday, April 17, 2017

PAS: RUU 355 disokong padu Umno, penentang berkawan ‘musuh Islam’

 | April 17, 2017
Ketua Pemuda PAS berkata cara parti itu kini perlu lebih berlembut dengan Umno.
nik-abduh
PETALING JAYA: PAS mendakwa rang undang-undang persendirian (RUU) yang dibawanya untuk meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 hanya dibantah oleh kelompok kecil umat Islam yang melakukan demikian kerana mereka bersama kumpulan yang memusuhi Islam dan tidak mewakili umat Islam lain.

“Saya berani menyatakan usaha PAS tersebut mendapat sokongan sepenuhnya umat Islam adalah kerana ianya telah disokong dan digerakkan oleh tiga institusi utama yang terbina di dalam masyarakat iaitu orang Umno, orang PAS dan NGO-NGO Muslim,” kata Ketua Pemuda PAS, Nik Mohamad Abduh Nik Aziz.
“Adapun kewujudan bantahan daripada beberapa kelompok kecil umat Islam yang bersatu bersama kumpulan non Muslim yang memusuhi Islam, maka ia adalah tertolak dan tidak dikira mewakili suara besar umat Islam.”

Menurutnya, masyarakat bukan Islam juga ada yang menerima RUU itu, yang bertujuan membenarkan hukuman lebih berat ke atas pesalah syariah.
Nik Abduh berkata antara bukan Islam yang menyokong RUU itu adalah dari kalangan sayap bukan Islam partinya, Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP), Parti Cinta Malaysia (PCM) dan penduduk bukan Islam di Kelantan.

“Masyarakat non-Muslim di Kelantan yang dilihat akan menjadi negeri pertama menerima pakai pindaan akta ini juga tidak pernah menunjukkan kegusaran, bahkan menerima baik kesungguhan rakyat Kelantan untuk menerima pakai penambahbaikan di dalam undang-undang Mahkamah Syariah,” katanya.

Beliau juga menolak anggapan PAS dipermainkan Umno dalam isu RUU, selepas Barisan Nasional menarik balik rancangan untuk membentangkan RUU itu sebagai usul kerajaan.

“Anda menyaksikan di hujung kisah, Umnolah yang kesukaran bagi memenuhi janjinya kepada PAS dan umat Islam. Umno terpaksa berputih mata pada peringkat ini apabila gagal memperolehi sokongan rakan-rakan dalam BN untuk menyokong pindaan akta ini,” katanya.

“Jawapan mudah ialah PAS tak boleh dan takkan mampu ditipu mudah oleh Umno. Bahkan jawapan lebih tepat ialah PAS bukanlah pak turut kepada kehendak musuh agama Allah yang mahukan PAS mengubah hala tuju politiknya daripada menegakkan agama Allah kepada sekadar menjatuh Umno dan menggantikannya dengan sesiapun tanpa pertimbangan syarak yang benar.”

Nik Abduh menyarankan supaya PAS lebih berlembut dengan Umno, kerana parti itu kini tidak lagi memusuhi Islam.
“Hari ini siapakah yang terlebih memusuhi agama? Pada saat Umno mula menyedari kesilapan mereka dan berusaha menyantuni institusi agama dan memberikan sedikit kelegaan bersyarat, lahir pula gerombolan musuh agama yang begitu lantang.

“Mereka menyeru kepada pemikiran liberal yang bermatlamat melarutkan Islam dan umatnya di dalam kehidupan bebas ala barat dan kekufuran.”

No comments:

Post a Comment