KUALA TERENGGANU - Pembangkang seolah-olah belum bersedia mencabar BN
secara satu lawan satu menjelang PRU14, memandangkan belum ada satu kata
putus berhubung perkara itu sehingga kini.
Pemimpin pembangkang termasuk Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat, Datuk
Mustafa Ali walaupun bersetuju strategi satu lawan satu boleh memberi
kelebihan kepada pembangkang dalam matlamat menjatuhkan kerajaan sedia
ada, namun suasana politik semasa ketika ini tidak memperlihatkan
perkembangan lebih positif ke arah itu.
“Dari sudut menghadapi BN Umno ini, (pertandingan) satu lawan satu
memang lebih baik daripada tiga penjuru. Tetapi adakah ini boleh dicapai
atau tidak, bergantung kepada keadaanlah,” katanya ketika ditemui pada
sidang media di sini, semalam.
Beliau turut menegaskan bahawa perlawanan tiga penjuru hanya akan menyebabkan keuntungan di pihak BN.
Bagaimanapun katanya, sebagai parti yang sudah lama menyertai dunia
pilihan raya, pihaknya tiada masalah kerana dengan jentera akar umbi
yang kuat, kedudukan Pas dalam politik tetap baik berbanding parti-parti
baharu.
Mengulas lanjut, Mustafa berkata, perlawanan tiga penjuru adalah satu
strategi dan bukan prinsip sambil menegaskan bahawa strategi boleh
berubah pada bila-bila masa sahaja.
Beliau bagaimanapun tidak menolak sebarang strategi atau kaedah yang
berpihak kepada pembangkang untuk berhadapan dengan Umno dan BN boleh
berlaku menjelang PRU14.
No comments:
Post a Comment