Sinar Harian
DAMSYIK - SYRIA. Sekurang-kurangnya 112 terbunuh manakala ratusan lagi
cedera, kelmarin dalam kejadian letupan bom menyasarkan konvoi
membabitkan puluhan bas yang membawa penduduk dipindahkan dari bandar
Fuaa dan Kafraya di bawah perjanjian dicapai antara rejim Presiden
Bashar al-Assad dan kumpulan pemberontak.
Kumpulan Pemerhati Hak Asasi Manusia Syria (SOHR) memaklumkan kejadian
pengeboman itu berlaku di kawasan Rashidin di pinggir Aleppo ketika
konvoi terbabit menunggu kebenaran untuk memasuki bandar utara itu,
Jumaat lalu.
"Pengebom berani mati itu dipercayai memandu van yang membawa bekalan
bantuan sebelum meletupkan kenderaan tersebut berhampiran konvoi bas
terbabit. Beberapa anggota kumpulan pemberontak yang mengiringi bas
tersebut turut maut.
"Mangsa cedera termasuk beberapa kanak-kanak dihantar ke hospital di Aleppo untuk menerima rawatan," kata jurucakap SOHR.
Sementara itu, media tempatan melaporkan cebisan anggota tubuh dan
beberapa mayat mangsa ditemui bergelimpangan berhampiran bas yang musnah
dalam letupan tersebut.
Dalam satu kenyataan, kumpulan pemberontak, Ahrar al-Sham turut mengutuk pengeboman tersebut.
"Kami menolak sebarang tuduhan yang dilemparkan untuk jenayah kejam
ini. Peranan kami adalah untuk melindungi orang awam dan bukan membunuh
mereka," kata jurucakapnya.
Insiden itu turut menyebabkan ribuan penduduk terkandas, namun proses
pemindahan tersebut disambung semula tidak lama selepas itu.
Difahamkan, lebih 5,000 penduduk yang hidup di bawah kepungan selama
lebih dua tahun di dua bandar tersebut bersama 2,200 dari Madaya dan
Zabadani dipindahkan di bawah perjanjian pertukaran tersebut. - AFP
No comments:
Post a Comment